Ketika kunjungan BH Auto ke Korea Selatan penghujung Jun 2011 lalu, jalan-jalan raya ditengah kota Seoul pada kebanyakan waktunya sesak. Di dalam keadaan beginilah peluang untuk memerhatikan kenderaan yang lalu-lalang terhidang; sebahagian besar daripada jumlah kenderaan yang berada di atas jalan adalah kenderaan dari jenama dan buatan Korea Selatan sendiri.

Antara yang paling banyak kelihatan adalah model-model Hyundai dan Kia, yang bernaung di bawah satu payung dikenali sebagai Hyundai Kia Automotive Group. Kenderaan buatan negara lain, misalnya dari gergasi pengeluar kereta Jepun seperti Toyota, Nissan atau Honda begitu kecil jumlah yang kelihatan.

Walaupun situasi industri automotifnya hampir sama dengan di Malaysia di mana sektor berkenaan mendapat sokongan terus dari kerajaan dan harga kenderaan jenama-jenama itu yang tidaklah begitu murah, rakyat Korea Selatan masih memilih untuk memandu kenderaan jenama tempatan. Ia barangkali lahir daripada kesedaran sendiri untuk menyokong produk tempatan mereka tanpa perlu dipaksa.

Perkara ini dapat difahami dengan melihat kepada perkembangan dan pencapaian jenama-jenama kenderaan dari sana. Hyundai misalnya, sejak Hyundai Motor Company ditubuhkan pada 1967, sudah banyak berkembang dan terus maju kehadapan dengan memperkenalkan produk-produk yang melibatkan peningkatan kualiti yang ketara.

Elantra 2012 tampil banyak pembaharuan

BH Auto ke Seoul adalah untuk menghadiri sesi pandu uji media antarabangsa bagi model Elantara 2012, yang dijangka akan diperkenalkan secara rasmi untuk pasaran Malaysia sekitar Februari nanti.

Model Elantra serba baru ini menampilkan pembaharuan optimum bukan saja bagi aspek kejuruteraan, tetapi turut melibatkan peralihan besar dari segi hala tuju dan kematangan reka bentuk. Satu daripada faktor utama yang mendorong perkembangan ini tentunya keterbukaan dan kesediaan syarikat itu untuk menerima dan membuka pintu untuk kerjasama dengan pihak dan pasaran luar.

Pengurus Reka Bentuk Kreatif, Pusat Rekaan Hyundai, Casey Hyun menjelaskan tentang perkara ini. Menurut beliau, kerja-kerja pembangunan reka bentuk bagi Elantra serba baru ini memakan masa hampir lima tahun, melibatkan pasukan rekaan Hyundai  dari pusat rekaan di California, Amerika Syarikat dan Korea Selatan sendiri. ”Kami menjalankan kaji selidik yang mendalam, dan menerapkan reka bentuk yang disebut ’fluidic sculpture’ yang sudah dan bakal dikembangkan untuk mereka bentuk kenderaan Hyundai generasi terbaru,” ujar Casey.

Penjelasan itu dengan mudah dapat dikenal pasti, terutama jika melihat pendekatan rekabentuk model-model Hyundai terkini seperti Sonata dan Tucson. Terbaru, gagasan rekaan yang sama akan diaplikasikan kepada model sedan keluarga Elantra 2012, yang baru saja dilancarkan untuk pasaran Korea Selatan Jun lalu.

Enjin dan transmisi

Elantra 2012 yang juga merupakan model generasi kelima Elantra ini dilengkapi dengan dua varians enjin terbaru, iaitu versi Gamma 1.6 MPI (dengan janaan kuasa sehingga 130ps) yang kini menggunakan struktur badan aluminium dan Nu 1.8 MPI (dengan janaan kuasa sehingga 150ps). Enjin 1.6 liter berkenaan merupakan enjin serba baru yang dikemaskan untuk menjadikannya lebih ringan dibangunkan khusus bagi Elantra 2012 bersama-sama enjin 1.8 liter yang turut ditawarkan.

Bagi transmisi, ia dilengkapi dengan transmisi automatik 6-kelajuan dan juga manual 6-kelajuan. Menurut Pengurus Produk, Kumpulan Perancangan Produk Seberang Laut Hyundai, Woo Jonghoon, sama seperti transmisi yang diperkenalkan pada model Sonata YF dan Tucson terkini, minyak ATF kotak gear automatik Elantra terbaru ini juga bebas selenggara untuk jarak 100,000km bagi keadaan pemanduan biasa.

Ciri pemanduan dan ruang kabin

BH Auto memandu uji versi 1.6 liter sepanjang tempoh berkenaan dan peluang itu digunakan sebaiknya untuk mengetahui secara ringkas kemampuan enjin dengan pembaharuan major yang lebih ringan dan jimat, dibangunkan khusus untuk Elantra itu.

Perjalanan yang terbahagi kepada dua bahagian, iaitu dari Haevichi Country Club ke Elysion Gangchon Resort di pinggir Seoul sebelum kembali semula ke tengah kota melibatkan laluan yang pelbagai, termasuk lebuh raya dan jalan kampung.

Perkara utama yang bakal menarik perhatian ialah reka bentuknya dengan garis badan yang menonjol dilengkapkan juga dengan reka letak ruang kabin yang ringkas tetapi elegan. Bagi kereta sedan segmen C, ruang kabin Elantra cukup luas dan selesa.

Berbanding model Elantra terdahulu, Elantra 2012 adalah 50mm lebih panjang (jarak wheelbase) manakala kelebarannya pada 1,775mm dikekalkan. Ketinggiannya pula dikurangkan sebanyak 45mm, tetapi tidak memberi kesan kepada ruang kabin, yang menerima pertambahan keluasan keseluruhan sejumlah 18 liter.

Enjin barunya juga mampu untuk menawarkan pemanduan yang pelbagai. Jika dipandu cara biasa dan tidak gopoh, ia boleh saja menjadi kereta keluarga yang ideal. Bagaimanapun, jika ingin sedikit agresif, terasa seperti ada sedikit kekurangan. Yang dimaksudkan ialah maklum balas pedal minyak dan sterengnya. Jika faktor ini boleh dipertingkan oleh Hyundai, pasti Elantra mempunyai pakej yang cukup menarik untuk mengatasi pesaing-pesaingnya yang lain.

Tiada masalah kuasa enjin, terutama ketika di laluan mendaki. Bagaimanapun, jika input sterengnya lebih tepat, ini akan menyeronokkan lagi pemanduan, misalnya di jalan-jalan berliku yang sekali gus melibatkan laluan menuruni bukit.

Selebihnya, Elantra 2012 ternyata menawarkan begitu banyak penambah baikan berbanding versi terdahulunya. Nantikan kemunculannya di bilik pameran Hyundai-Sime Darby di Malaysia tidak lama lagi dan nilaikan sendiri kelebihannya nanti. Setakat yang dicuba dalam waktu yang singkat di Seoul, Elantara 2012 ini tidak mengecewakan. Harga akan diumumkan ketika pelancarannya nanti.

Spesifikasi Hyundai Elantra 2012

1. Enjin: 1.8-liter Nu Multipoint Fuel Injected (MPI), 4 silinder

Kuasa maksimum: 148hp @ 6,500rpm

Tork maksimum: 178Nm @ 4,700rpm

Transmisi: Automatik 6-kelajuan dengan Shiftronic / Manual 6-kelajuan

Ciri keselamatan: VSM (Vehicle Stability Management), ESP (Electronic Stability Program) dan enam beg udara.

 

2. Enjin: Gamma 1.6 MPI D-CVVT 

Kuasa maksimum: 128hp @ 6,300rpm

Tork maksimum: 156Nm @ 4,850rpm

Transmisi: Automatik 6-kelajuan dengan Shiftronic / Manual 6-kelajuan

Ciri keselamatan: VSM (Vehicle Stability Management), ESP (Electronic Stability Program) dan enam beg udara.

 

Imej global terbaru Hyundai

Di dalam perkembangan yang sama, Hyundai kini turut memperkenalkan dan menerapkan slogan global terbaru jenama itu. ‘New Thinking. New Possibilities’ menjadi pernyataan jenama itu untuk menggambarkan arah baru dan komitmen syariakat itu untuk terus mengembangkan sayapnya dan memasarkan produknya ke seluruh dunia.

Menurut Casey Hyun, Elantra 2012 juga dibangunkan melalui pendekatan ini. ”Kami di Hyundai sentiasa berusaha untuk meletakkan produk yang dihasilkan pada kedudukan yang lebih tinggi. Dengan slogan dan imej terbaru ini, kami ingin mensasarkan Hyundai sebagai kenderaan premium moden di seluruh dunia,” ujar Casey.

”Misalnya, dengan pendekatan reka bentuk ’fluidic sculpture & wind craft’ yang lebih dinamik dan berkesan, Hyundai tampil dengan rekaan yang begitu moden dan berani, berbeza dengan pesaing-pesaing kami. Dan ini adalah langkah ke hadapan bagi Hyundai,” tambah Casey.

Dengan slogan terbaru ini, ia sarat dengan matlamat dan hala tuju terkini pembuat kenderaan dari Korea Selatan ini.

”Hyundai kini bukan lagi bawaan Hyundai yang lama. Melalui barisan produk yang sedang dan bakal diperkenalkan, Hyundai komited untuk memberikan pembaharuan-pembaharuan kejuruteraan serta reka bentuk kenderaan masa hadapan,” jelas Casey lagi. - Hazril Hafiz, 6 Januari 2012.