Permulaan baik dunia kustom
Pada hari biasa, pusat membeli belah Publika yang terletak di Solaris Dutamas, Kuala Lumpur mungkin tenang bagi orang ramai membeli-belah dan bersenang-lenang menikmati makanan di kafe sekitarnya.
Tetapi hujung minggu lepas ia digegarkan dengan gema ekzos serta enjin dari motosikal dan kereta buatan khas (kustom) sempena acara ‘Art of Speed’ yang berlangsung selama dua hari.
Berbeza dengan ‘autoshow’ yang biasa dilakukan, acara ini tidak fokus hanya pada kenderaan tertentu sahaja tetapi terbuka kepada semua jenis kenderaan tidak kira dari Jepun, Amerika, Eropah atau negara lain dengan tema yang mengetengahkan seni dalam dunia permotoran.
Walaupun tidak gah seperti acara-acara ternama, ‘Art of Speed’ yang dianjurkan oleh Switchblade KL ini menunjukkan hasil yang membanggakan dan diterima baik untuk memeriahkan serta menghidupkan kembali cabang modifikasi dalam dunia permotoran.
Dua belas ribu (anggaran) pengunjung yang hadir bukan sahaja dapat menjamu mata dengan jentera yang datang dari Malaysia, malah hasil kerja pembina kereta serta motosikal antarabangsa dari Thailand, Singapura dan Indonesia yang turut mengambil bahagian dalam acara ini dengan jumlah keseluruhan jentera yang dipamerkan sebanyak 16 unit kereta, 36 unit motosikal dan 28 unit basikal Lowrider, masing-masing dengan keunikan serta identiti tersendiri.
Bukan sekadar pameran, pengunjung juga dapat mengambil bahagian dalam satu forum yang diadakan pada hari Sabtu (23 Jun) menampilkan panel seperti James Wong (Tedco Malaysia), Salehuddin Hamzah (penggiat serta pembina motosikal klasik), Matthew Lim (Vicious Cycles Singapura), Veroland (KickAss Choppers Jakarta) dan Thor Pongsivapai (Thor Chops and Kustoms Bangkok).
Di samping itu, persembahan artis seperti Altimet, Tiga Swagger, Kaka Azraff, 3Kustik, Majesty, Kugiran d’Tepi Pantai, The Malayan, LOKA Band, Nifael Blues Band dan Aryan Band memastikan acara terus berlangsung dengan bertenaga dari pagi hingga ke lewat petang.
Sebagai permulaan dan julung kali diadakan, Art of Speed boleh dianggap sebagai berjaya dan diharap ia akan diteruskan tahun depan dengan skala yang lebih besar. - Durrani Sharom.
Keputusan Pertandingan (melalui undian pengunjung)
Kenderaan Terbaik – Khairum Naim Kamaruzzaman (Celica TA23)
Motosikal Terbaik – Lee Bikers (Harley-Davidson Custom)
Basikal Terbaik – Zulfaiz Zulkini (Custom Bobber)
Pertarungan B-Boy – Gila Battle Crew
Pertandingan Hotwheels Kustom – Amm Minimonster
Pertandingan fotografi – Suriyanita Sidek



















