Suzuki Assemblers Malaysia Sdn Bhd baru-baru ini menyegarkan kembali model Suzuki Shogun dengan pengenalan Suzuki Shogun Axelo. Ia ditawarkan dalam dua varian iaitu Axelo-S yang menggunakan gear automatik dan juga Axelo-R  yang dilengkapi klac tangan operasi manual.

Kedua dua model ini disasarkan Suzuki bagi menguasai saingan dalam segmen 125cc untuk memenuhi kehendak penunggang yang inginkan sebuah motosikal underbone yang lebih sporti, anggun dan berkuasa.

Enjin nya direka khusus bagi model Shogun ini supaya lebih berkuasa dan ekonomi. Ia juga dilengkapi aci imbang ataupun ‘balancer single-shaft’ yang berfungsi membatalkan gegaran enjin satu silindernya. Pendikitnya pula dilengkapi sensor posisi yang memberi maklum balas kepada pemasa enjin.

Ini membolehkan pemasaan nyalaan di tala dengan tepat bagi meningkatkan prestasi bagi pecutan lebih cepat dan kelajuan maksima lebih tinggi. Prestasi lebih cekap ini juga akan mampu memaksimakan penggunaan petrol.

Nisbah gear yang lebih tinggi pula membolehkan Suzuki Shogun Axelo-S dan R ini mencapai kelajuan tertinggi pada putaran enjin yang lebih rendah, iaitu 100km/j pada 8,300rpm dibandingkan 8,600rpm untuk model sebelumnya.

Ruang pembakaran kepala silindernya direka semula sesuai dengan sudut injap yang lebih tirus disamping membesarkan bukaan injap untuk meningkatkan kecekapan pembakaran hasil dari kemasukan campuran bahan api yang lebih lancar dan cekap. Ia juga membolehkan nisbah mampatan nya dinaikkan kepada 9.6:1 berbanding enjin terdahulu, dan menggunapakai teknologi PAIR (Pulsed-secondary AIR-Injection) Suzuki yang mampu mengurangkan emisi ekzos dan lebih mesra alam.

Penggunaan brek cakera hadapan dan juga belakang telah memastikan prestasi daya brek yang dapat menampung peningkatan daya pecutan dan kelajuan maksimum Suzuki Shogun Axelo ini. Brek depannya yang bersaiz 290mm merupakan yang terbesar dalam kelasnya, dengan cakera 220mm bagi brek belakang.

Penukaran gear bagi Axelo-R juga didapati lancar melalui semua empat nisbah gearnya, dan posisi neutral mudah dicari dengan tepat, dari gear pertama mahu pun gear kedua.

Kunci utamanya merupakan sistem kunci pusat di mana kedua-dua stereng dan tempat duduk boleh dibuka dengan kunci utama. Ia dilengkapi penutup lubang kunci bagi menyukarkan kecurian. Ruang simpanan sebesar 7 liter terdapat di bawah pelana untuk menyimpan barangan peribadi kecil atau baju hujan.

Shogun ini menggunakan lampu depan multi-reflektor dua rangkap dengan pancaran yang lebih mencapah dan terang, manakala lampu belakangnya pula lebih kompak dengan lampu brek dari jenis LED.

Suzuki Shogun Axelo ini ditawarkan dalam variasi tiga kombinasi warna menarik, dengan rekabentuk grafik yang agak menawan.  Model Axelo-R ditawarkan pada harga RM 5,388.00 manakala Axelo-S pula pada harga RM5,208.00, Pembelian model terbaru Suzuki ini juga datang dengan jaket dan topi keledar khas Axelo yang ditawarkan sehingga 31 Oktober ini. - Salihin Rahim, 30 September 2011.

 

Spesifikasi Suzuki Axelo

Enjin: Satu silinder empat-lejang 124cc SOHC suapan karburetor
Gerek x lejang: 53.5mm x 55.2mm
Kuasa: (Tidak di nyatakan pengeluar)
Tork: (tidak di nyatakan pengeluar)
Komen BH Auto: “Tunggangan selesa dengan rekabentuk menarik.”