Motosikal / Tunggang Uji / Ulasan

Benelli TnT25 – Platform pemula

Apr 6, 2016 · 15:33 PM

Benelli TnT25 sediakan tunggangan sporty 250cc.

Benelli TnT2507
Pasaran motosikal di Malaysia semakin meriah dengan ketibaan pelbagai model berkuasa tinggi sekaligus menimbulkan keinginan kepada lebih ramai pengguna jentera dua roda untuk merasai sendiri pemilikannya termasuk yang kini menggunakan kapcai.

Bagaimanapun, bagi sesetengah individu, mungkin terdapat beberapa kekangan yang menjauhkan mereka daripada memiliki motosikal jenis ini seperti kos dan keperluan untuk menaik taraf lesen menunggang kepada B, dari B2.

Memikirkan perkara itu, Benelli Keeway Motorcycles Sdn Bhd (BKM) membawa ke dalam pasaran model TnT25 yang dilihat dapat mendekati lebih ramai pengguna selepas model mereka yang lebih terkenal iaitu TnT300.

Benelli TnT2502

Sekali imbas pada muka hadapannya, TnT250 memang berkongsi rupa dengan TnT300 tetapi ia terhenti setakat di situ sahaja kerana TnT250 mempunyai rekaan tersendiri, yang terpampang pada tangki, panel sisi serta lampu belakangnya. Apa yang terhasil adalah satu rekaan motosikal ‘naked’ yang agresif dengan penampakan kerangka Trellis sporty, namun kekal seimbang, kemas dan menarik.

Kebiasaannya, pada motosikal ‘naked’, apa yang dicari penunggang adalah kedudukan yang selesa, dan Benelli berjaya melaksanakannya dengan baik pada TnT25. Anda tidak akan merasa penat untuk menunggang motosikal ini kerana kedudukannya tegak dengan pemegang yang tinggi dan sepadan supaya penunggang tidak perlu terlalu membongkok.

Selain itu, TnT25 juga diterapkan dengan lebih sporty seperti yang dilihat pada bahagian suspensi hadapannya yang menggunakan fork jenis ‘Upside Down’ (USD). Ia sekaligus menghasilkan tunggangan yang lebih mantap dan boleh berhadapan dengan semangat penunggang untuk melayan selekoh sambil disokong oleh Monoshock belakang yang baik.

Benelli TnT2500

Putaran pemegangnya juga agak ‘ketat’, seterusnya menjadikan TnT25 lebih meyakinkan apabila ditunggang pada kelajuan tinggi tanpa banyak gegaran sehinggalah ke kelajuan maksimumnya yang penulis capai pada hampir 140kmj.

Bagi motosikal peringkat permulaan, ini adalah lebih daripada mencukupi, malah enjin satu silinder 249cc TnT25 juga cukup responsif dan menghasilkan bunyi ledakan satu silinder yang menarik untuk didengar. Sudah tentu, jika ditukar ekzos, pasti lebih menyeronokkan.

Penulis berpendapat Benelli mungkin boleh memperbaiki beberapa perkara bagi kepuasan penunggang. Pertamanya, tuil klac TnT25 adalah sedikit berat dan ini menjadikan tunggangan di dalam trafik yang sesak sedikit seperti satu senaman membesarkan sebelah tangan.
Bahagian brek pula, jika dapat memberikan tindak balas yang lebih kepada penunggang mungkin adalah lebih baik. Pada masa penulis menguji model TnT25 ini, breknya memerlukan tekanan yang lebih dan cengkamannya sukar dijangka.

Benelli TnT2503

Semakin anda membiasakan diri dengan motosikal ini, anda akan tahu untuk membrek lebih awal sekiranya ingin memperlahankan motosikal dan perlu berjaga-jaga dengan keadaan kecemasan kerana ia tidak dilengkapi ABS.

Panel meter yang digunakan pada TnT25 sama seperti TnT300 dan ia mempunyai segala informasi penting yang lengkap. Tahap rpm ditunjukkan secara analog manakala informasi yang lain pula dipaparkan secara digital.

Secara keseluruhannya, TnT25 adalah platform baik bagi mereka yang ingin berjinak dalam dunia motosikal berkuasa tinggi. Melalui motosikal ini, sekurang-kurangnya anda boleh menimba pengalaman dahulu dengan cara penunggangan seperti mengambil selekoh dan aspek lain sebelum menaik taraf apabila berkemampuan nanti. – Durrani Sharom.

 

Spesifikasi Benelli TNT 25

Enjin: 249cc, satu siinder, empat strok, penyejukan cecair
Transmisi: Enam kelajuan
Kuasa maksimum: 25.2hp @ 9,000rpm
Tork maksimum: 21.5Nm @ 7,500rpm
Brek hadapan: Cakera 280mm
Brek belalakang: Cakera 240mm
Suspensi hadapan: Fork teleskopik terbalik
Suspensi belakang: Monoshock
Kapasiti tangki: 17 liter
Berat: 150kg (kering)
Harga: RM12,990 (tidak termasuk GST dan insurans)

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This blog is kept spam free by WP-SpamFree.