Tayar Maxxis Bighorn MT764 baru dibangunkan dengan ciri-ciri yang lebih baik berbanding model terdahulu, MT762. Rekaan bunganya hampir sama tetapi kini dipanggil sebagai corak ‘Eagle’.

Semasa di atas permukaan tar, tayar ini mengeluarkan bunyi yang sedikit bising sebaik kenderaan mencecah kelajuan 70km/j namun cengkaman masih di tahap yang baik terutamanya sewaktu jalan basah.

Bagaimanapun, orang ramai tidak membeli ‘tayar lumpur’ atau ‘offroad’ ini kerana ia senyap atau mencengkam di atas jalan tar biasa. Ia dipilih kerana keupayaan mengatasi permukaan mencabar dan untuk mengujinya kami memasangkan satu set Bighorn MT764 pada Land Cruiser lama seterusnya bertolak ke Hulu Yam.

Di situ terdapat pelbagai permukaan yang sedia mencabar Bighorn seperti bukit, selekoh dan lopak berlumpur, pasir serta sungai kecil. Perkara pertama yang terus disedari adalah tayar ini mencengkam dengan baik di dalam lumpur. Bahagian yang timbul pada tepi tayar itu pula membantu Land Cruiser ini mendaki bukit tanpa sebarang masalah.

Menurut Maxxis, bahagian tepi ini dibangunkan dengan rekaan khas yang memberikan lebih cengkaman, kukuh dan dapat melindunginya daripada rosak serta bocor. Satu lagi yang istimewa adalah ia diterapkan dengan corak bunga yang mampu mengeluarkan serpihan batu daripada melekat pada tayar dan bertindak sebagai ‘pembersih’.

Satu kekurangannya adalah ia tidak begitu menyukai permukaan lembut. Semasa sesi ujian tersebut, kami terpakasa menukar gear ke kedudukan 4L bagi menggerakkan kenderaan. Tetapi jika difikirkan balik, permukaan itu mungkin terlalu lembut. Kesimpulannya, Bighorn MT764 baru ini adalah tayar yang berbaloi sekiranya anda mencari tayar ‘offroad’ atau lumpur yang baik. Cukup untuk dipandu atas tar, cemerlang di permukaan kasar terutamanya lumpur tetapi tidak di permukaan berpasir.

Dengan tanda harga sekitar RM450 hingga RM550, ia terletak sedikit rendah berbanding tayar jenis sama yang membawa jenama lain. Disebabkan masih baru, ia hanya boleh didapati dalam saiz yang terhad, buat masa ini hanya untuk saiz rim 15 inci dan 16 inci. Maklumat lebih lanjut boleh didapati dengan menghubungi 03-51927608. - Niklas Albakri, 17 Februari 2012.