Diusahakan oleh Ahmad Faresh Ahmad Zahid, sebuah bilik pameran khas yang mesra orang kurang upaya (OKU) dilancarkan minggu ini. Bertempad di Taman Wahyu, Kepong, Faresh Motor (M) Sdn Bhd menjadi bilik pameran Perodua pertama yang menawarkan kemudahan sebegini.

Faresh, yang juga seorang OKU, berazam untuk mempermudahkan golongan seangkatannya di dalam setiap urusan di bilik pameran berkenaan. “Di sini juga kami ada menyediakan khidmat khas bagi OKU yang ingin membeli kenderaan, termasuk nasihat terhadap pengubahsuaian yang sepatutnya bagi keperluan OKU yang berbeza-beza,” ujar Faresh.

Antara kemudahan mesra OKU yang disediakan termasuklah laluan khas untuk golongan ini dari luar premis sehingga ke dalam ruang pameran, serta ruang sembahyang dan tandas yang menepati keperluan golongan berkenaan.

“Dengan perasmian bilik pameran ini, Perodua kini memiliki 183 cawangan jualan di seluruh negara. Kami mensasarkan untuk membuka 192 cawangan menjelang hujung tahun ini untuk mengukuhkan rangakain pengedaran Perodua, dan kemudahan di bilik pameran ini akan menjadi penanda aras kepada cawangan-cawangan yang akan dibuka nanti,” jelas Pengarah Urusan Perodua, Datuk Aminar Rashid Salleh.

Bilik pameran berkenaan dirasmikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.