BUKAN semua suami isteri memiliki hobi yang sama tetapi bagi Azlan Shah Abdullah, beliau beruntung kerana isterinya bukan setakat memahami, tetapi turut ikut serta dalam aktiviti dan hobi beliau – memandu kenderaan pacuan empat roda.

Dilahirkan di Terengganu keduanya tetapi kini menetap di Kuantan, Azlan dan isterinya Aida Honiramzita Abu Samah akan masuk ke hutan untuk berkhemah bersama rakan-rakan.

Kenderaan pilihan mereka ialah Toyota Land Cruiser BJ40 tahun 1978. ”Saya membelinya pada tahun 2006 dengan harga kurang dari RM15,000,” terang Azlan.

Beliau kemudian menghantarnya kepada Wan Raqiman, pemilik Bengkel Mara di Batu 6, Jalan Gambang untuk proses modifikasi.

“Wan dan saya memang dari satu kelab – Kelab 4X4 Pahang,” ujar beliau lagi. Azlan menghabiskan tidak kurang dua tahun dengan kos melangkaui RM40,000 untuk menghasilkan BJ Merah Putih ini.

Jika diintai di bahagian dalam kabin, ternampak empat tuil gear terpacak keluar dari lantai. ”Satu untuk transmisi enjin, satu untuk transmisi 4X4, satu untuk nisbah tinggi dan rendah (4L dan 4H) dan satu untuk PTO winch,” terang Azlan, meredakan konfusi penulis.

Lokasi kegemaran pasangan suami isteri ini ialah kawasan hutan di Lepar Utara. “Saya cukup suka jika Aida mengikut kerana yang pasti kami dapat makanan enak bila tiba waktu makan,” terang Azlan.

Jika anda ada hobi berkaitan dunia automotif, hantarkan gambar dan butiran lengkap anda ke auto@bharian.com.my. - Hezeri Samsuri, 26 Ogos 2011.

 

Modifikasi terdiri dari:

- enjin 2JZ, suspensi, gandar dan pelbagai komponen dari Toyota Soarer

- pam minyak dari Mercedes-Benz W123

- winch PTO buatan bengkel Lien Fat di Kuantan (dibuat dari gandar kereta terpakai)

- winch elektrik Warn (9,000 paun) di belakang

- Locking differentials dari Toyota Land Cruiser Ninja (ditukar dari elektrik ke sistem udara)

- Kerusi SSCUS, yang kilangnya terletak di Semambu, Kuantan

- Tayar Simex Centipede Extreme

- pembaik-pulih casis, tutup enjin dari gentian kaca dan cat