Kereta / Kompak / Pandu Uji / Ulasan

BMW 118i kompak mewah

May 11, 2016 · 14:23 PM

Aspek rekaan, kelengkapan teknologi mengujakan

BMW 23

Dari pandangan hadapan, rekaannya tiada beza dengan model BMW yang lain. Rekaan jeriji hadapan, tanda pengenalan BMW. Apabila melihat dari bahagian sisi, membezakannya adalah saiznya. Sebuah kereta kompak. Namun ia masih tampak mewah.

BMW 118i yang penulis pandu uji kali ini adalah dari varian Sport Line. Ia dilengkapi rim bentuk bintang yang secara tidak langsung dapat menonjol sisi sporty kereta kompak keluaran BMW ini.

Rekaan kabin kemas

BMW 18

Menjengah keruangan dalamannya, rekaan papan pemuka 118i ini kelihatan padat tetapi tidak serabut. Mudah dan senang untuk capaian pemandu mahupun penumpang hadapan. Terdapat skrin LCD bersaiz 6.5 inci yang lengkap dengan fungsi iDrive Controller, pemain CD dan MP3 bersama enam pembesar suara.

Skrin LCD yang ada pada kereta  ini bukanlah skrin kawalan sentuh tetapi ia dikawal dengan menggunakan tombol yang ada berdekatan dengan gear. Bagi yang sudah biasa, mungkin ia tidak mendatangkan sebarang masalah, namun berlainan dengan penulis. Penumpang bahagian hadapan seringkali tanpa sengaja terlanggar tombol kawalan dan menyebabkan stesen radio sering bertukar siaran.

Untuk tempat duduknya pemandu dan penumpang hadapan, dipasangkan tempat duduk sport. Apa yang penulis gemari, terdapat pelarasan elektrik yang sangat menyenang dan memudahkan apabila mahu melaraskan tempat duduk berdasarkan keselesaan penumpang. Namun penulis kurang menggemari tempat duduk sportnya, terasa agak sendat dan padat. Agak tidak selesa.

Prestasi mengkagumkan

BMW 19

Dari aspek pemanduan, sememangnya kereta jenama mewah ini tidak mengecewakan.  Sangat lancar pengendaliannya. Walaupun ia merupakan sebuah kereta kompak, aspek kestabilannya amatlah baik. Ia dapat dirasai ketika memandunya di jalan berselekoh menuju  ke Genting Highland.

Terdapat empat pilihan mod pemanduan, Eco Pro, Comfort, Sport dan Sport+. Ketika penulis menggunakan mod pemanduan Comfort, pada saat penulis mahu meningkatkan kelajuan, ia seperti memerlukan sedikit masa sebelum mencapai kelajuan yang diingini. Namun apabila menukar kepada mod Sport+, ia sangat responsif dan jujur, penulis rasa teruja. Perkara yang paling penulis sedari, ketika ingin meningkatkan kelajuan, tanpa mengira mod pemanduan yang digunakan, tidak kedengaran bunyi deraman enjin meresap masuk ke ruangan kabin.

Secara kesimpulannya, sama ada BMW yang dipandu sebuah kompak mahupun sedan, ia masih mampu menampilkan sisi kemewahannya. Sama ada dari aspek rekaan mahupun teknologi yang dipasangkan. Untuk aspek pengendaliannya pula, tiada apa yang perlu dirisaukan. Amat memuaskan hati.  – Asyikin Md Isa

 

Spesifikasi BMW 118i Sport

Enjin:  1,499cc BMW TwinPower Turbo 3-silinder

Kuasa maksimum:  136hp

Tork maksimum: 200Nm

Transmisi: Automatik 8-kelajuan Steptronic

Ciri-ciri keselamatan: Enam beg udara depan,Dynamic Stability Control (DSC), Adaptive LED Headlight,  dan lain-lain.

Harga:  RM173,800 (harga insentif EEV)

 









 

 

 

 

 

 

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This blog is kept spam free by WP-SpamFree.