‘Saudara’ kepada Ford Ranger ini tetap pamer keupayaan tersendiri.

Sejak beberapa tempoh kebelakangan ini, kenderaan trak pikap dengan pacuan empat roda semakin mendapat perhatian pengguna biasa, termasuk di Malaysia sendiri. Jika dulu, ia dilihat sebagai kenderaan untuk digunakan oleh mereka yang terbabit kerja-kerja kasar seperti sektor pembinaan, imej seperti itu sudah berubah kini.

Trak pikap menjadi pilihan kerana kelasakannya, serta bagi sesetengah orang praktikaliti yang mampu ditawarkannya, terutama untuk mengangkut barangan dengan mudah. Apa pun alasannya, satu sebab yang menjadi daya penarik bagi trak kini adalah reka bentuknya yang tidak lagi sama seperti imejnya yang terdahulu.

Kini, ia lebih mesra dengan penampilannya, dengan sentuhan moden yang menawan. Mazda BT-50 mungkin antara contoh terkini. Walapun dibangun menggunakan pendekatan kejuruteraan lain yang dikongsi bersama Ford Ranger (kedua-dua trak berkenaan dipasang di kilang yang sama di Thailand), BT-50 tampil dengan imej yang tersendiri.

Trak ini, dengan saiz besar, dipersembahkan dengan reka bentuk luaran yang seakan-akan ingin lagi dari reka bentuk trak pikap konvensional. Ia mengambil rupa dan garis badan yang lebih radikal bagi sebuah trak, yang secara tidak langsung lebih dekat dengan reka bentuk kereta penumpang.

Kabin dalamannya juga menawarkan suasana yang sama. Selain daripada ketinggiannya ketika di atas jalan, anda tidak akan sedar bahawa keselesaan yang ditawarkan tidak jauh beza jika berada di dalam kereta penumpang.

Dari aspek pemanduan pula, ia lebih agresif. Model pandu uji ini, yang dilengkapi dengan enjin 3.2 liter, ternyata sarat kuasa untuk menggalas cabaran apa saja. Untuk memandu dibandar, ia tidak menjadi masalah. Hanya perlu perhatiakan ruang kerana ia tinggi dan sedikit besar berbanding kereta biasa; selebihnya, memandu BT-50 sama saja perasaannya dengan memandu kereta penumpang – sangat mudah. Torknya yang besar turut membantu mempermudahkan pergerakan dari kedudukan pegun.

Sepanjang memandunya, dengan kebanyakan waktu dihabiskan di jalan dalam bandar, BT-50 tidak mengecewakan. Di dalam hujan lebat di Lebuh raya NPE, ia meluncur tenang dan meyakinkan, walaupun jalan basah ia tiada sebarang masalah kendalian. Dengan prestasi dan kuasa seperti itu, BT-50 tentunya tidak mempunyai sebarang masalah untuk dikerah dengan kerja-kerja atau di laluan yang lebih sukar.

Ia sebuah kenderaan pacuan empat roda dengan setiap ciri ketahanan dan kelasakannya, tetapi dengan reka bentuk yang lebih kontemporari untuk memikat hati mereka yang sebelum ini tidak pernah meramahi trak pikap. -Hazril Hafiz

Spesifikasi Mazda BT-50
Enjin: 3,198cc
Kuasa maksimum: 200hp @ 3,000rpm
Tork maksimum: 470Nm @ 1,750rpm-2,500rpm
Transmisi: Automatik 6-kelajuan, dengan pertukaran manual
Ciri-ciri: ABS, beg udara dan lain-lain.
Harga: RM107,483

Komen BH Auto: Trap pikap dengan reka bentuk urban yang tetap tangkas.