Versi terbaru dengan sentuhan lebih elegan untuk kepuasan

Pertama kali duduk di dalam kabinnya, ia memberikan tanggapan yang berbeza berbanding model sama versi yang terdahulu. Ruang dalaman Toyota Camry 2.0G dari beberapa sudut dirasakan lebih elegan. Paling utama hal ini mungkin disebabkan oleh warna latar hitam yang menjadikannya tampak lebih kemas dengan sentuhan premium.

Ada perbezaan pendapat tentang warna latar kabin umumnya. Ada yang mengganggap warna cerah akan menjadikan ruang itu nampak ‘luas’. Tetapi, itu hanya tanggapan. Realitinya ukuran ruang berkenaan tidak pernah berbeza jika warna latarnya berubah.

Tetapi, dengan warna hitam ini, ia dirasakan lebih menawan, seperti ia menjadikan keseluruhan kereta ini sebuah penyatuan antara kenderaan dengan pemandu/penumpangnya. Jika tidak terlalu berlebihan untuk dinyatakan, ia lebih ‘kukuh’.

Sejak diperkenalkan di Malaysia pada 1994, Camry menjadi antara model paling laris jenama itu di sini. Dan dengan pengenalan model serta versi terbarunya untuk pasaran tempatan Jun lalu, Camry seperti ingin meneruskan tradisi itu, walaupun kini menerima saingan daripada pelbagai lagi model dan jenama dari segmen sama.

Sebaik mula memandunya, tidak sukar untuk sesiapa saja mengetahui perkara yang ingin ditawarkan Toyota melalui model ini. Untuk benar-benar menghargainya, perlulah diketahui apa sebenarnya yang ingin ditawarkan oleh Toyota melalui model ini. ‘Keselesaan’ adalah kata kuncinya.

Amat menyenangkan untuk berada di dalam kereta ini. Dari dalam, enjin sangat senyap. Maklum balas pedal minyak, stereng dan brek juga dalam keadaan yang mudah dan bersahaja untuk dikawal dan cukup responsif.

Dan, walaupun menitik beratkan faktor keselesaan lebih daripada faktor lain, prestasinya tetap tidak dipinggirkan. Dengan saiz luas, termasuk ruang barangan dibelakang, enjin 2.0 liternya mampu untuk memikul tugas berat dan boleh menampung keperluan kuasa yang diperlukan. Dan, perlu juga difahami bahawa Camry ialah sebuah kereta keluarga yang elegan. Maka, prestasinya juga disesuaikan untuk memenuhi keperluan itu.

Berkenaan sistem transmisi yang digunakan pula, walaupun masih menggunakan transmisi automatic Super ECT dengan pilihan kawalan gear manual, ia sudah diperkemas (dengan fungsi kawalan Flex-Start dan ‘lock-up clutch’) untuk memperbaiki penyaluran kuasa yang lebih cekap, sekaligus memberikan pemanduan yang lebih lancar dan senyap berbanding sistem sama pada model Camry terdahulu. Fungsi Eco juga membantu pemandu untuk menjimatkan penggunaan bahan api.

Sepanjang tiga hari memandu Camry 2.0G sekitar Kuala Lumpur, tidak ada rungutan yang keterlaluan untuk diluahkan mengenai kereta ini. Semuanya berada pada keadaan yang memuaskan. Memandunya secara bersahaja cukup mudah. Jika perlu, pemanduan pada kelajuan tinggi juga meyakinkan. -Hazril Hafiz

Spesifikasi

Enjin: 2.0L 1AZ-FE, 4 silinder DOHC 16 injap, VVT-i
Kuasa maksimum: 146hp @ 6,000rpm
Tork maksimum: 190Nm @ 4,000rpm
Transmisi: Automatik Super ECT 4-Kelajuan
Ciri-ciri keselamatan: Beg udara Dual-SRS, EBD, ABS dll. Jaminan 3 tahun.

Komen BH Auto: Sebuah sedan eksekutif yang praktikal dan selesa untuk pelbagai keadaan trafik.