Bagi Honda, kereta hibrid tidak seharusnya membosankan seperti tanggapan ramai orang. Kepada yang pernah memandu sebuah kereta hibrid, walaupun ia tidak mampu menawarkan keseronokan yang sama seperti kereta dengan enjin konvesional, teknologi hibrid bagaimanapun menawarkan sesuatu yang lain kepada pengalaman pemanduan.
Dan di dalam aspek ini, Honda melangkah setapak kehadapan dengan menawarkan model CR-Z. Ia sebuah kereta hibrid, dengan enjin 1.5 liter. Tetapi, kelebihan sebenarnya ialah DNA dan semangat yang cuba ditampilkan; ia menyambung legasi model sport Honda suatu masa dulu, model CR-X, tetapi kini melengkapinya dengan teknologi hibrid.
Legasi kereta yang digelar hot-hatch ini berjaya diterjemahkan semula melalui CR-Z. Kabin kompak, reka bentuk sporty, pemanduan yang tidak dikompromi serta paling menarik, yang dipandu uji serta versi yang dijual di sini menggunakan transmisi manual. Ini sudah cukup meletakkannya sebagai sebuah kereta hibrid yang berada di dalam kelas tersendiri.
Serba-serbi tentang model ini adalah sporty, termasuk tempat duduk dan maklum balas keseluruhannya. Di dalam mod hibrid biasa, memandunya terasa begitu mudah dan ringkas. Tidak seperti kereta sport umumnya, klac manual yang ada pada model ini tidak keras. Walaupun ia menggunakan sistem hibrid yang melibatkan kerjasama dari kedua-dua enjin petrol atau motor elektrik, agak sukar untuk mengetahui bila kedua-dua fungsi ini sedang berkerja dalam satu-satu masa.
Tetapi, jangan risau jika ada waktunya enjin CR-Z ini akan mati sendiri. Misalnya, ketika pemandu menekan klac dan memperlahankan kereta untuk berhenti dilampu isyarat, anda akan dapati enjin akan mati. Ini adalah sebahagian daripada mekanisma hibrid pada kereta manual ini. Ketika anda memijak semula klac untuk memasukkan gear, enjin akan dihidupkan semula secara automatik.
Untuk mengalami pemanduan yang lebih agresif, apa yang perlu dilakukan hanyalah menekan satu butang disebelag kanan pemandu. Di situ akan kelihatan tiga butang; Sport, Normal dan Econ yang menjadi petunjuk kepada pemilihan mod-mod yang ada.
Butang Sport, jika ditekan, akan memberikan profil pemanduan yang amat berlainan. Deruman enjin (rev) akan kedengaran lebih garang, respon stereng juga lebih berat serta kendalian keseluruhannya menjadi lebih kemas dan tambah meyakinkan, terutama kepada yang gemar memandu dan mengambil selekoh.
Membelah lebuh raya dengan CR-Z amat menyenangkan. Mungkin disebabkan reka bentuk aerodinamik yang menonjol padanya, tidak menjadi masalah untuk memandunya pada kelajuan tinggi. Untuk memasuki bandar, mungkin akan ada yang kurang selesa sedikit memandangkan ia sebuah kereta manual. Tetapi, mod Econ atau Normal sudah memadai untuk membolehkan anda menjimatkan serta menggunakan tenaga dan bahan api dengan cekap. - Hazril Hafiz, 6 April 2012.
Spesifikasi
Enjin: 1.5L i-VTEC SOHC + IMA
Kuasa maksimum: 122hp @ 6,000 (enjin dan motor elektrik)
Tork maksimum: 174Nm @ 1,000-1,5000 (enjin dan motor elektrik)
Transmisi: Manual 6-kelajuan
Ciri-ciri keselamatan: Beg udara i-SRS bagi pemandu, beg udara SRS bagi penumpang, VSA, ABS, BA, EBD dan banyak lagi.
Harga: RM115,000 (dengan insurans)
Komen BH Auto: Kereta hibrid yang dapat memuaskan naluri mereka yang tegar memandu.


















1 comment
hery says:
May 31, 2012
Cvt Cr-z dijangka keluar pada june ini..?