Dipasang di Thailand dan dihantar ke seluruh negara Asia Pasifik.

Model kruiser sport dari Ducati iaitu Diavel sudah berada di pasaran Malaysia sejak tahun 2010 dengan beberapa penampilan seperti versi AMG. Terbaru, Diavel CKD diperkenalkan untuk pasaran dengan harga jualan lebih mampu milik; RM109,888 untuk Standard dan RM126,888 untuk Diavel Carbon.

Spesifikasinya masih sama seperti model sebelumnya dengan enjin silinder berkembar L Testastretta 1198cc berkuasa 162hp dan 127.5Nm tork.

Pada majlis pelancaran Diavel CKD ini, Next Bike turut memperkenalkan lima konsep warna khas baru untuk model Monster 795 Monster Art iaitu GP11- Valentino Rossi, GP11- Nicky Hayden, Ducati Corse, Imola 72 and Darmah.

Monster 795 Monster Art dijual pada harga RM61,900 manakala versi spesifikasi penuh dengan warna khas dan sistem ekzos Termignoni dijual pada harga RM65,900. Bagi pengguna Monster 795 sedia ada, mereka masih boleh mendapatkan konsep warna khas ini dan memasangnya di pusat servis Ducati.