Dengan semangat pengembaraan yang berkobar, sekumpulan penunggang motosikal Ducati mengharungi perjalanan 10 hari dari Kuching, Sarawak hingga ke Kota Kinabalu, Sabah. Acara yang dianjurkan buat kali pertama ini menawarkan pengembaraan sekali seumur hidup mengharungi 2,000 kilometer yang luar biasa dan semangat keakraban bagi pemilik Ducati Multistrada 1200.

Lebih daripada 30 pemilik Ducati Multistrada, petugas media dan kakitangan Next Bike Sdn Bhd, pengedar rasmi Ducati di Malaysia, telah berjaya menamatkan satu perjalanan mencabar itu bermula dari 25 November hingga 5 Disember lalu. Kumpulan ini merupakan peneraju Pengalaman Ducati Multistrada Borneo 2011 yang berjaya mengharungi jalan-jalan bandar, jalan kampung yang tidak berturap dan juga laluan pergunungan yang berceranggah dan tidak berkesudahan di Pulau Borneo.

Kumpulan yang diketuai oleh Ketua Pegawai Operasi Kumpulan Syarikat Naza, Datuk SM Zulkifli SM Amin, telah sampai hingga ke Puncak Pulau Borneo iaitu penghujung paling utara pulau tersebut dalam pengembaraan 10 hari tersebut. Ia merupakan kemuncak pencapaian mereka dalam penjelajahan melalui Sarawak, Brunei Darussalam, Labuan dan juga Sabah.

Acara ini adalah satu inisiatif oleh Ducati Malaysia, sebuah syarikat di bawah Kumpulan Naza, untuk menggalakkan pelancongan jentera dua roda melalui jenama Ducati. Pulau Borneo merupakan tempat asal bagi banyak spesis yang unik dan terancam seperti Orang Utan, Monyet Belanda, Badak Borneo, Gajah kerdil Borneo, Penyu Hijau dan juga Penyu Karah.

Sepanjang perjalanan, semua peserta berhadapan dengan perubahan suhu cuaca, lintasan ternakan sekali-sekala, dan juga pribumi tempatan. Jalan-jalan sukar di Borneo juga menuntut tumpuan yang lengkap dan perhatian daripada kesemua peserta bagi memastikan satu perjalanan yang selamat. Keadaan ini berterusan selama beberapa hari sepanjang perjalanan dari Kuching, Sibu, Bintulu, Miri di Sarawak ke Brunei Darussalam, Labuan dan Sabah. Beberapa hentian telah dibuat di beberapa tempat-tempat yang paling menakjubkan di Borneo termasuklah di sebuah pulau peranginan.

Pengerusi Eksekutif Bersama Kumpulan Naza , Datuk Wira SM Faisal Tan Sri SM Nasimuddin berkata acara itu adalah satu inisiatif yang pro-aktif bagi penunggang Ducati untuk meneroka Pulau Borneo. “Peserta melalui bandar-bandar utama dan juga kawasan luar bandar yang telah membolehkan mereka berkongsi perspektif yang berbeza dengan pemilik Ducati Multistrada yang lain dan juga peminat dari rantau Asia Pasifik. Selain mencipta sejarah, acara ini juga bertujuan untuk menyatukan pemilik Ducati bagi mendalami minat mereka kepada jenama ini,” katanya, sambil mengucapkan terima kasih kepada penaja yang telah merealisasikan perjalanan ini.

“Ducati Multistrada 1200 Borneo Adventure Pengalaman 2011 bukan hanya satu pengembaraan, tetapi satu siri cabaran dan pengalaman yang akan diingati ramai dan tentunya dinanti-nantikan oleh peminat Ducati di seluruh dunia.” Beliau juga memberi jaminan acara seperti ini akan diteruskan lagi bagi tahun hadapan.

Ketua kumpulan kembara 10 hari itu, SM Zulkifli berkata acara itu adalah satu pengalaman yang akan diingati bukan hanya bagi para peserta, tetapi juga bagi kakitangan dan kru sokongan yang turut serta mengikuti perjalanan itu dengan kenderaan Chevrolet Captiva. ”Ia satu perjalanan yang hebat dari awal hingga akhir. Kami telah mengalami pelbagai rupabentuk jalan raya, pelbagai tempat dan bertemu rakyat tempatan yang hebat,”katanya.

SM Zulkifli menambah bahawa Multistrada merupakan motosikal yang berwibawa dan telah berjaya mengharungi keseluruhan kembara tersebut tanpa sebarang masalah. “Ia adalah motosikal sempurna untuk menangani kehendak kembara tersebut dan telah berjaya membawa kesemua peserta ke seluruh pulau Borneo.”

Pengalaman Borneo Ducati Multistrada 1200 2011 ini juga boleh diikuti dengan melayari www.smf.net.my bagi turutan harian sepanjang sepuluh hari pengembaraan berkenaan. - Abeshu Tan, 3 Februari 2012