Naza Quest Sdn Bhd, selaku pengedar rasmi jenama Chevrolet di Malaysia hari ini melancarkan model Captiva terbaru.
Di samping reka bentuk dan rekaan perincian yang berbeza, model terbaru ini juga dilengkapi dengan enjin petrol serba baru, 2.4 liter yang dipadankan dengan sistem transmisi automatik 6-kelajuan Tiptronic yang sebelum ini tidak terdapat pada model versi awal Captiva.
Dipasangkan di Thailand, Captiva terbaru ini ditawarkan pada harga RM155,385.20 dengan insurans. Enjin ECOTEC berkenaan menghasilkan kuasa sehingga 165hp manakala tork pula pada 225Nm.
”Sesasaran enjin (cc) Captiva terbaru ini ialah 2,384cc, berbanding 2,405cc pada model terdahulu. Bagaimanapun, enjin dan transmisi (6-kelajuan) baru ini menawarkan lebih prestasi berbanding yang lama (yang menjana 136hp dan 220Nm),” jelas Pengurus Besar, Jualan & Pemasaran Naza Quest, Eugene Tay.
Mula mengambil alih jenama berkenaan sejak 2010, Naza Quest kini mempunyai 19 rangkaian pengedar di bandar-bandar utama seluruh negara dan bakal menambahkan jumlah berkenaan dalam masa terdekat untuk menampung keperluan pelanggan.
Antara ciri-ciri keselamatan yang melengkapi model terbabit ialah dua beg udara penumpang depan, beg udara sisi, EBD, kawalan cengkaman, kawalan kestabilan ESP, perlindungan ‘anti-rallover’ (ARP) dan sistem suspensi larasan automatik (Self-Levelizer) serta ciri Hill-Start Assist.
Model ini juga didatangkan denganlimawarna; Auburn Brown, Alphine White, Black Sapphire, Royal Gray, Tornado Red dan Sterling Silver.
Turut kelihatan di bilik pameran Naza Quest Jalan Ampang ialah dua model ternama dari Chevrolet, yang turut dibawakan untuk penggemar automotif Malaysia; Chevrolet Camaro yang sinonim dengan filem Transformers serta model lagenda Chevrolet Corvett. – BH Auto, 23 Ogos 2011.















