Tempahan awal sebelum pelancaran melebihi 800 unit.

Ford Ranger bukanlah satu nama asing dalam pasaran trak pikap ringan di Malaysia. Kini, generasi T6 serba baru diperkenalkan oleh Sime Darby Auto Connexion (SDAC) dalam tiga varian; Double Cab 4×4 2.2L XLT manual (enam gear), Double Cab 4×4 2.2L XLT automatik (enam gear) dan Double Cab 4×4 3.2 XLT Wildtrak. Masing-masing dijual pada harga RM89,888, RM95,888 dan RM116,888.

Semua binaan kenderaan ini adalah baru – enjin, kotak gear, suspensi, sistem stereng, brek, cesi, lapisan besi luar serta bahagian dalam. Turut ditambah adalah kelengkapan baru untuk keselesaan dan keselamatan.

Dari segi ketahanan, ia mampu mengangkut barangan seberat 1,400 kilogram (mengikut varian) dan boleh meredah air sehingga kedalaman 800 milimeter walaupun dalam muatan penuh.

“Pengalaman memiliki Ford bukan terhad kepada produk yang bagus sahaja, malah servis yang boleh dijadikan peneraju dalam kelasnya. Tahun ini lima lagi pusat pameran akan dibuka,” kata Pengarah Urusan SDAC, Hazem Abdul Rahman.

Sementara itu, Pengurus Rantau, Eksport Ford Asia Pasifik dan Operasi Pertumbuhan, Dave Westerman yang turut berada di majlis pelancaran Ranger baru pula menyatakan kini adalah waktu yang mengujakan bagi Ford. Selepas ini Focus generasi baru pula akan dilancar, diikuti oleh enam model serba baru atau direka semula dalam masa 18 bulan seterusnya di Malaysia.

INFO
Pilihan enjin:
- 2.2L Variable Geometry (VG) Turbo diesel
- Duratorq TDCi 3.2L Variable Geometry (VG) Turbo diesel.
INFO
Ciri keselamatan (mengikut spesifikasi)

- Sistem Brek Anti-Kunci (ABS), Agihan Kuasa Elektronik (EBD),Bantuan Brek Elektronik (EBA), Pengawal Muatan Adaptif (LAC), Program Stabiliti Elektronik (ESP),Pengawal Turun Bukit (HDC), Bantuan Pelancar Atas Bukit (HDC) dan Kalis Gulingan (ROM).