Memiliki sebuah kenderaan yang besar dan tinggi seperti trak pikap dan SUV seperti sudah menjadi ‘trend’ di negara kita. Walaupun duduk di bandar atau jarang memasuki kawasan mencabar, memandu kenderaan seperti ini memberi pengalaman memandu yang berbeza, membuatkan si pemandu termasuk wanita lebih yakin dengan penampilan yang sasa.

Antara model yang terletak dalam kategori ini dan boleh dipertimbangkan sebagai pilihan adalah Toyota Fortuner yang baru dinaik taraf dengan gaya yang lebih segar.

Dari depan, anda boleh nampak rekaan keseluruhan ‘mukanya’ diserap dengan reka bentuk yang lebih biasa digunakan pada kenderaan sedan seperti Altis dan Camry. Tetapi identiti asal yang tegap dan gagah masih jelas dengan adanya garisan di atas hud dan lengkungan tayar yang timbul.

Di belakang, lampu ala kristal yang mempunyai kombinasi dua warna iaitu krom dan merah menjadikan kenderaan nampak lebih moden dan apabila ditambah dengan kit badan TRD Sportivo di seluruh bahagian, ia memang sukar untuk diketepikan sebagai pesaing dalam kategorinya.

Masuk ke bahagian dalam, warna cerah digunakan pada bahagian-bahagian utama seperti tempat duduk kulit, sisi pintu serta papan pemuka dan digabungkan dengan trim kayu hitam. Biasanya trim berwarna perang digunakan tetapi warna yang lebih gelap ini serba sedikit membuatkan suasana menjadi lebih premium. Untuk penumpang belakang, ruang yang ada mencukupi dan kedudukannya agak selesa.

Bagi penulis, masalah utama kebanyakan kenderaan penumpang tujuh tempat duduk adalah tempat simpanan barangnya. Jika penumpang penuh dan masing-masing membawa bagasi untuk ke suatu destinasi jauh, ruang barangannya mungkin tidak mencukupi. Tetapi jika kurang daripada tujuh orang, kerusi belakang boleh dilipat mengikut kesesuaian.

Unit yang dipandu uji oleh BH Auto ini menggunakan enjin 2.7L petrol. Jika dibandingkan dengan versi yang menggunakan diesel (2.5), tork yang dikeluarkan sedikit kurang (-19Nm) tetapi kuasa kudanya mempunyai kelebihan sebanyak 58hp.

Dari pengalaman penulis memandunya di atas jalan biasa, versi petrol ini cukup padan. Tiada masalah untuk memotong atau naik bukit malah boleh mencecah sehingga 140 km/j. Sebenarnya ia boleh pergi lebih laju tetapi badannya yang besar membuatkan penulis lebih berhati-hati.

Dalam kelajuan tersebut, kawalan stereng masih meyakinkan dan suspensi juga memainkan peranannya dengan baik. Tiada bunyi-bunyi kasar atau gangguan yang berlaku.

Dilihat secara keseluruhan, kenderaan ini mempunyai kelebihannya yang tersendiri dan melihat kepada harga dan ketahanan yang bagaikan sudah sinonim dengan Toyota, ia boleh dipertimbangkan sekiranya anda memerlukan kenderaan seperti ini. - Durrani Sharom, 6 Januari 2012.

 

SPESIFIKASI – Toyota Fortuner 2.7V TRD Sportivo

Enjin: 2.7 liter (petrol), empat silinder sebaris, 16 injap, DOHC, VVT-i

Transmisi: Automatik empat kelajuan dengan ECT

Kuasa Maksimum: 157hp @ 5,200rpm

Tork maksimum: 241Nm @ 3,800rpm

Ciri-ciri keselamatan: ABS, Beg udara SRS berkembar hadapan

Harga: RM 182,448