Jenama UK beri pilihan terbaru kepada penunggang.

Motosikal jenama Megelli baru sahaja memasuki pasaran Malaysia pada pertengahan tahun 2012 di bawah label Daiichi. Ia diasaskan oleh Pengarah Urusan SLD UK Ltd, Barry Hall dari United Kingdom. Semua kerja kejuruteraan dan rekaan motosikal Megelli dilakukan di United Kingdom manakala pemasangan akhirnya dilakukakan di China dengan pengawasan rapi.

Kini, ia sudah dipasarkan di lebih 37 negara di Eropah, Asia, Australia, Afrika dan Amerika. Salah satu model yang dibawa masuk ke pasaran Malaysia melalui N.B Motors Sdn Bhd yang berpusat di Sarawak adalah 250S.

Sekali imbas, motosikal ini dilihat jelas mempunyai pengaruh rekaan Itali menggunakan kerangka Trellis dan bentuk badan yang bersudut. Selain mampu menarik perhatian, rekaan ini turut memberi keselesaan kepada penunggang.

Duduk sahaja di atas motosikal ini, penunggang disediakan dengan pelana yang cukup selesa dan bahagian bawah badan dipegang dengan baik melalui lengkungan yang ada. Bahagian hendal pula ditetapkan tinggi untuk memberi kedudukan yang lebih menyenangkan sepanjang waktu menunggang.

Megelli 250S menggunakan enjin satu silinder dan sistem minyak karburetor. Sebaik dihidupkan melalui pemula elektrik, bunyi kasar yang terhasil dan deruman ekzos seperti ekzos sport bagai menandakan motosikal ini sedia untuk beraksi secara agresif. Pemasukan gear juga agak ‘keras’.

Ini mungkin merisaukan sesetengah orang, namun itu sememangnya sifat Megelli.
Sebaik klac dilepaskan dan pendikit dipulas, waktu itu semua kerisauan tersebut akan hilang dan diganti dengan keterujaan. Kuasa tarikan yang terhasil setiap kali menukar gear sememangnya memuaskan terutamanya jika anda seorang penunggang yang bersifat ‘menyerang’.

Walaupun pada tahap rpm tinggi seperti 7,000 dan 8,000, anda masih boleh menikmati kuasa ini sehingga tahap maksimum lebih sedikit daripada 10,000 dan kelipan lampu (shift gear) menandakan masa untuk menukar gear. Jika dikerah sepenuhnya, ia mampu mencapai 140km/j.

Turut membantu adalah berat yang dapat dikurangkan melalui penggunaan bahan aluminium sebagai contoh pada bahagian lengan ayun. Penunggang juga boleh menunggang motosikal ini di selekoh dengan yakin hasil gantungan suspensi monoshock di belakang dan penyerap hentak ‘terbalik’ di hadapan. Tambahan pula, unit pandu uji ini dilengkapi dengan tayar Pirelli Sport Demon buatan Brazil.

Dari segi penggunaan minyak, penulis tidak berani untuk memberi nombor yang tepat. Tiada meter yang disediakan untuk tahap minyak di dalam tangki, cuma lampu amaran sahaja. Dari pengalaman penulis, dari lampu mula menyala, isian sebanyak RM14 mampu bertahan hampir 130 kilometer sebelum ia menyala semula.

Jika anda mencari sebuah motosikal 250cc yang berpatutan, Megelli mungkin adalah jawapannya. Walaupun kuasa maksimumnya sedikit terhad, pasti ada sesuatu yang boleh dilakukan jika pemilik ingin sesuatu yang lebih. -Durrani Sharom

SPESIFIKASI Megelli 250 S

Enjin: 249.6cc, silinder tunggal, karburetor, empat injap OHC,
Transmisi: Enam kelajuan, klac basah dan multi plat
Kuasa maksimum: 26hp @ 8,500rpm
Tork maksimum: 22.8Nm @ 7,000rpm
Berat kasar: 122kg
Harga: RM16,720

Komen BH Auto: Pilihan terbaru motosikal 250cc yang boleh dipertimbangkan.