Pengurus Operasi Luar Negara GIVI Asia Sdn Bhd, Joseph Perucca menunjukkan topi keledar Givi X08 Modular kepada pihak media

JENAMA terkemuka aksesori motosikal dunia, GIVI kini menawarkan lapan topi keledar model terbaru untuk pengguna motosikal Malaysia. Pelancaran barisan topi keledar ini telah diadakan Selasa lalu di premis Givi Asia di Bukit Beruntung, Selangor.

Model Modular X.01 dari GIVI Itali memaparkan reka bentuk modular seolah sebuah topi keledar tiga dalam satu. Ia datang dengan dua pelindung dagu yang boleh di tanggal untuk menjadikannya versi jet seperti topi keledar biasa. Topi keledar ini telah diluluskan untuk homologasi sebagai topi keledar penuh muka dan juga topi keledar terbuka.

Turut ditawarkan adalah topi keledar penuh muka 40.2 GT reka bentuk Itali yang dibuat dari gabungan tiga gentian serat kaca, karbon dan juga Kevlar. Sistem pengudaraannya cemerlang melalui tiga salur masuk udara dan dua pengekstrak di belakang.

Topi keledar Modular X.08 pula merupakan satu lagi model dari GIVI Itali, dengan fungsi boleh buka ‘flip-up’. Pelindung dagunya boleh diangkat dengan menekan butang pusat. Dwi-homologasi membenarkan penggunaannya sebagai topi keledar jet dan juga versi muka penuh.

Topi keledar M11.0 ‘siri Malaysia’ yang direka oleh GIVI Asia juga merupakan topi keledar jet kegunaan dalam bandar seperti juga model M10.0. Model M11.0 dan M10.0 adalah sama dengan sifat tetapi dengan perbezaan dalam bentuk,
warna dan berat.

“Kualiti dan keselamatan yang menjadi teras di sekeliling yang setiap produk GIVI dibangunkan,” tambah Pengurus Operasi Luar Negara GIVI Asia Sdn Bhd, Joseph Perucca.

Semua topi keledar ini mematuhi standard piawaian ECE 22,05 dan diluluskan pemakaiannya oleh Jabatan Pengangkutan Jalan. Barisan topi keledar Givi baru ini boleh didapati dari peruncit GIVI di seluruh negara, manakala barisan model Itali boleh didapati di kedai-kedai terpilih. - Salihin Abd Rahim

 

INFO:
- 5 helmet rekaan Itali dan 3 helmet rekaan tempatan
- Berharga antara RM150 hingga RM990.
- Setiap model ditawarkan dengan ciri dwi-visor; visor utama anti-calar dan visor dalaman gelap yang boleh dilaras berasingan.

“Semua topi keledar kami didatangkan dalam pelbagai saiz, S, M, L dan XL, bergantung kepada model. Dengan pilihan yang lebih banyak, matlamat kami adalah untuk memastikan bahawa setiap penunggang motosikal selamat dilindungi,” – Pengarah Urusan GIVI Asia Sdn Bhd, Onn Hai Swee.