Infiniti M35h menjadi penanda aras baru di dalam menawarkan kenderaan hibrid mewah di Malaysia. Model terbabit dilengkapi enjin berkuasa yang mampu menjana 360hp kuasa maksimum dan pada masa sama cekap menggunakan tenaga. Dengan model ini, ia meletakkan Infiniti tidak hanya sebagai sebuah jenama kereta mewah semata-mata, tetapi kini mampu menawarkan prestasi yang menakjubkan sekaligus.

“Bagi 2012, barisan kenderaan mewah berprestasi Infiniti akan diperkukuhkan dengan pengenalan kenderaan hibrid penuh terpantas, M35h, serta model-model seperti M25 yang dilengkapi enjin 2.5L V6 yang tetap selesa dan mewah,” jelas Pengurus Besar Inspired Motor Sdn Bhd, Christopher Tan.

M35h ialah model pertama Infiniti yang menggunakan teknologi Infiniti Direct Response Hybrid generasi terbaru. Ia juga mampu mencatat bacaan 0-100kmj dalam masa hanya 5.5 saat dengan pembebasan CO2 yang minimum pada takat 162g/km.

Ia dijana oleh enjin 3.5 liter dengan motor elektrik yang dipadankan dengan transmisi automatik 7-kelajuan.

M35h dijual pada harga RM499,000 (tanpa insurans). Turut diperkenalkan ialah dua lagi model, iaitu Infiniti M25 (RM350,000) dan M37 (RM425,000). - BH Auto, 4 Mei 2012.