Sejak pertama kali diperkenalkan di Malaysia pada tahun 2001, Honda City diterima baik oleh pasaran dan ia kini menjadi model CKD paling laris dijual oleh Honda Malaysia. Terbaru, City diberi peningkatan untuk memastikannya terus segar.
Kebanyakannya adalah daripada segi kosmetik melihatkan penggunaan rekaan baru pada gril, bampar, warna papan pemuka, meter metalik dan konsol tengah.
Pakej kuasa (enjin 1.5 liter i-VTEC dan transmisi automatik lima kelajuan dengan pedal penukar) masih lagi dikekalkan namun ia dikatakan mampu mencapai tahap penggunaan bahan api yang lebih baik dan disertakan dengan lampu ECO yang dapat membantu pemandu.
Selain itu, transmisi City baru ini juga dilengkapi dengan teknologi Drive-By-Wire (DBW) yang mengawal enjin untuk penukaran gear dan pecutan lebih lancar.
Bahagian dalam turut menerima penambah baikan di bahagian penyandar kepala dan tempat duduk tengah (dilengkapi tali pinggang keledar ELR) serta sistem audio dengan sambungan USB serta AUX.
Dari segi keselamatan, City baru dilengkapi beg udara berkembar SRS, Bantuan Stabiliti Kenderaan (VSA), ISOFIX, ABS, EBD dan BA.
Semasa majlis pelancaran City baru, Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Honda Malaysia turut mengumumkan pakej servis baru Honda Malaysia yang menawarkan jaminan selama lima tahun tanpa had batuan bagi pelanggan Honda City baru yang menyelenggara kenderaan mereka mengikut jadual.
Honda City baru dijual pada harga RM85,980 (Grade S) dan RM90,980 (Grade E). Turut disediakan adalah pakej Modulo dan Connex SVR yang dijual pada harga tambahan RM2,950 dan RM3,660 masing-masing. - Durrani Sharom, 20 Jun 2012.







