Berita / Kereta / Pandu Uji / SUV / Ulasan

Honda CR-V, kekal selesa dan praktikal

Mar 31, 2016 · 12:37 PM

CR-V 10

Pada penghujung Mac lalu, penulis diundang untuk mengikuti sesi pandu uji generasi keempat Honda CR-V ke Ipoh. Dan pemanduan kali ini lebih kepada aspek santai dan untuk merasai pengalaman sehari sebagai pemilik SUV.

Sepanjang sesi pandu uji dua hari satu malam ini, penulis berpeluang memandu Honda CR-V 2.0L 2WD. Dari aspek rekaan luarannya, tidak banyak yang berbeza berbanding varian 2.4L, cuma untuk varian ini, ketika ingin meningkatkan kelajuan akan kedengaran bunyi deraman enjin yang meresapi ruang kabin.

Untuk mengetahui perbezaannya, penulis turut memandu uji varian 2.4L 4WD. Pastinya perbezaan ketara dirasai dari aspek prestasi pemanduan. Untuk CR-V varian ini, penulis berpuas hati ketika ingin meningkatkan kelajuan.Boleh dikatakan responsif malah deraman enjin juga kurang didengari.

Praktikaliti ruangan kargo antara aspek utama yang penulis ingin tekankan. Ini kerana sudah semestinya pemilik SUV akan menggunakan ruangan kargo sebaik mungkin untuk meletakkan barangan. Dan untuk memudahkan pemilik, lantai ruang kargo Honda CR-V telah direka lebih rendah berbanding jenama SUV lain.

Comparison 1

Tidak percaya? Itu yang penulis rasakan, kerana penulis juga sebelum ini menyangka lantai ruangan kargo kenderaan SUV pada ketinggian yang sama. Pastinya kelebihan ini memberikan kemudahan proses mengangkut barang masuk mahupun keluar dari ruangan kargo, terutamanya bagi pemandu wanita dan juga mereka yang berbadan kecil.

Oleh kerana sesi ini bersifat santai, penulis bersama rakan media lain diberikan peluang mencuba dan merasai aktiviti berakit di Gopeng. Ia pastinya antara aktiviti menarik untuk dicuba buat mereka yang gemarkan aktiviti berkaitan air.

Laluan sungai yang berliku dan memerlukan banyak tenaga untuk mendayung, sedikit sebanyak mendatangkan keletihan kepada penulis. Dalam perjalanan menuju ke hotel, Honda CR-V yang dinaiki penulis dipandu oleh rakan media lain.

Rafting

Faktor keselesaan untuk Honda CR-V ini berada pada tahap yang sangat memuaskan. Ini dapat dibuktikan apabila penulis sendiri hampir tertidur apabila duduk bahagian penumpang belakang, letih mungkin antara punca utama, namun sememangnya penulis tidak dapat menafikan aspek keselesaan yang dirasai.

Jika dilihat dari jumlah kenderaan yang bertali arus di jalan raya, pastinya kita dapat melihat ia lebih didominasi oleh kenderaan dari segmen sedan, kompak ataupun hatchback. Tetapi tidak dapat dinafikan kenderaan SUV memiliki peminatnya yang tersendiri.

Seperti Honda CR-V generasi keempat ini, dengan rekaannya yang lebih menarik berbanding model generasi terdahulu pastinya ia masih mampu menawan hati pembeli terutama peminat jenama Honda itu sendiri. Dan dibandingkan dengan model sebelumnya, CR-V kini tampak lebih moden dan bergaya, serta sesuai dipandu sama ada oleh lelaki mahupun wanita.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This blog is kept spam free by WP-SpamFree.