Penampilan julung kali di peringkat global yang pertama dijangka berlaku di Pameran Motor Antarabangsa Frankfurt minggu depan, namun Hyundai Motor Company mendedahkan lebih awal gambar-gambar model generasi baru hatchback segmen C terlaris mereka, iaitu i30.
Hyundai i30 generasi baru ini dibangunkan di Pusat Teknikal Hyundai Motor Eropah di Russelheim, Jerman. Rekaan luarnya masih mengekalkan identiti Hyundai dengan alur badan yang dipanggil ‘fluidic sculpture’.
Generasi awal i30 adalah model pertama yang dibangunkan di Eropah dan dikeluarkan di kilang syarikat tersebut di RepublikCzech.Ia juga kenderaan Hyundai yang pertama menerima taraf lima bintang dalam penilaian Euro NCAP.
Sejak dilancarkan pada bulan Julai 2007, penjualan i30 di Eropah meningkat saban tahun dan sehingga kini 350,000 unit berjaya dijual.
Pembeli Hyundai i30 generasi baru akan menerima tiga pakej penjagaan serentak iaitu jaminan lima tahun tanpa had batuan, bantuan atas jalan selama lima tahun dan pemeriksaan lima tahun secara percuma. – BH Auto, 9 September 2011.







