Kereta / Pandu Uji / Perbandingan / SUV / Ulasan

Hyundai Tucson, Nissan X-Trail mampu penuhi keperluan

Apr 8, 2016 · 13:01 PM

Pertembungan dua SUV terkini dalam pasaran, yang mana satu punyai lebih banyak kelebihan?

VS 6

Ketika membuat pandu uji perbandingan antara beberapa model kenderaan, apa lagi jika dalam proses ingin memilih kenderaan untuk dimiliki, bagi penulis apa yang penting adalah seseorang individu itu harus mengetahui apa yang diingininya terlebih dahulu.

Ia sama ada berkaitan dengan aspek prestasi sesebuah kenderaan, aspek rekaan luaran mahupun dalaman ataupun aspek keselesaan penumpang yang menjadi keutamaan. Kerana, walaupun dalam satu segmen yang sama, adalah sangat sukar untuk mencari sebuah model yang mampu memenuhi keperluan-keperluan yang mungkin ada dalam satu pakej yang sempurna. Pasti akan ada sisi-sisi positif dan negatif terhadap bayangan keperluan penggunaan yang diingini bagi tiap-tiap model.

Dua SUV ini, Nissan X-Trail dan Hyundai Tucson merupakan antara model terkini yang ditawarkan dalam pasaran; satunya buatan jenama Jepun dan satu lagi jenama Korea Selatan. Laporan perbandingan ini menyingkap secara ringkas penawaran kedua-duanya.

Hyundai Tucson

Tucson 1

Memandu SUV keluaran Hyundai yang dikuasakan dengan enjin 2.0 MPi  dengan transmisi automatik 6-kelajuan FWD ini pada kelajuan yang biasa; laluan harian di Lebuhraya Persekutuan, pengalamannya menyeronokkan. Ia terasa sangat mudah dikendalikan. Terima kasih kepada ciri stereng bantuan elektrik yang melengkapinya.

Namun pada ketika penulis ingin meningkatkan kelajuan, dirasakan Tucson ini kurang responsif dan terasa sedikit ‘berat’ untuk melonjak pergi. Deruman enjin jelas kedengaran pada ruangan kabin ketika pedal minyak ditekan habis.

Dari aspek kestabilan Tucson, penulis merasakan ia berada pada tahap yang terbaik. Lebih-lebih lagi apabila memandu di jalan berselekoh. Punca utamanya adalah disebabkan saiz badan yang lebar dan besar.

Tucson 5

Apa yang penulis paling gemar mengenai SUV keluaran Hyundai ini adalah pada kemasan ruang dalamannya yang berwarna merah. Cukup eksekutif, sesuai dengan varian Executive yang dipandu uji penulis. Faktor keluasan dan keselesaan dapat dirasai pemandu dan juga penumpang.

Tucson 3

Untuk aspek teknologi pula, butang kawalan ‘Auto Hold’ sangat berguna; ia berfungsi memberhentikan pergerakan kereta tanpa perlu menukar ke gear ‘N’ ataupun menggunakan brek tangan; merupakan fungsi yang paling penulis suka.

Nissan X-Trail

X-trail 1

Bagi Nissan X-Trail pula, aspek pemanduannya boleh dikatakan lebih responsif. Ia tidak memerlukan masa yang lama untuk meningkatkan kelajuan. Bunyi deraman enjin, boleh didengar meresap masuk ke ruangan kabin ketika penulis ingin meningkatkan kelajuan.

Cuma bezanya antara SUV keluaran Nissan ini dengan Tuscon adalah tindak balas yang diberikan lebih pantas dan enjin tidak terasa seperti terlalu dikerah. Ini mungkin kerana saiznya tidak selebar Tucson, menjadikan ia terasa lebih ringan dan mudah untuk meluncur pergi.

Sejujurnya, rekaan dalaman X-Trail ini bagi penulis, tidak mendatangkan banyak keterujaan. Disebabkan ia kelihatan hampir sama seperti SUV lain pada pemerhatian penulis. Namun dari aspek teknologi, boleh dikatakan Nissan X-Trail mendahului.

X-trail 2

Ia dilengkapi skrin paparan 8-inci dengan teknologi 360° Around View Monitor (aksesori tambahan; RM3,926) membolehkan pemandu meninjau pemandangan sekeliling. Ciri ini sedikit sebanyak memudahkan pemandu seperti ketika ingin memasuki ruang meletak kenderaan.

Teknologi lain yang boleh didapati pada X-Trail adalah Paparan Bantuan Pemanduan Termahu (ADAD) bersaiz lima inci yang memberi kemudahan ketika memandu, Active Ride Control dapat mengurangkan rasa gegar ketika melalui jalan tidak rata.

Aspek keutamaan individu

Secara kesimpulannya, pada pendapat penulis, kedua-dua SUV ini memiliki kekuatan dan kelebihan yang tersendiri jika diteliti dari aspek kepentingan penggunaan individu. Jika ditanya pada penulis; aspek keselesaan dan keluasan ruang pada Tucson dan X-Trail tidak perlu dipertikaikan.

Namun, Hyundai Tucson merupakan pilihan utama pada mereka yang mementingkan aspek rekaan ruang dalaman yang lebih segar, ciri eksklusif dan kelainan yang ditampilkannya. Manakala bagi mereka yang mementingkan aspek prestasi pemanduan, Nissan X-Trail boleh dijadikan pilihan memandangkan ia menjanjikan prestasi pemanduan lebih lancar dan responsif. – Asyikin Md Isa

 

Spesifikasi

Hyundai Tucson

Enjin: NU 2.0L MPi 4-silinder

Kuasa maksimum: 155ps @6, 000rpm

Tork maksimum: 192Nm @ 3, 750rpm

Transmisi: Automatik 6-kelajuan FWD

Ciri-ciri keselamatan: Enam beg udara depan, Electronic Parking Brake (EPB), Parking Assist System (PAS), pengurusan kawalan imbangan (VSM) dan lain-lain.

Harga: RM142,632.60 (atas jalan tanpa insurans)

 

Nissan X-Trail

Enjin: 2.0L CVT 4 silinder sebaris, DOHC dengan Twin CVTC

Kuasa maksimum: 144PS @ 6,000rpm

Tork maksimum: 200Nm @ 4,000rpm

Transmisi: Xtronic CVT 7-peringkat manual generasi baharu

Ciri-ciri keselamatan: Dua beg udara SRS bahagian hadapan, sistem brek anti kunci (ABS), electronic brake-force distribution (EBD) dengan break assist (BA), ISOFIX, vehicle dynamic control (VDC) dan lain-lain.

Harga: RM136,976.96(atas jalan tanpa insurans)

 

 

 

 

 

 

 

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This blog is kept spam free by WP-SpamFree.