Isuzu Malaysia Isnin lalu memperkenalkan rangkaian trak tugas ringan dan sederhana syarikat itu yang terbaru. Barisan produk baru mereka ini disasarkan untuk mempertingkatkan keupayaan membawa beban dan keberkesanan operasi perniagaan di seluruh negara.

Model utama barisan produk baru ini merupakan Isuzu F-Series 700P FVR generasi keenam bagi tugas sederhana, yang menawarkan ciri keselamatan, keberkesanan dan keselesaan yang dikatakan terunggul dalam kelasnya.

Trak mega ini disasarkan untuk menembusi pasaran trak jarak jauh sebagai trak paling jimat minyak dan tahan lasak dalam segmen 18-tan. Ia juga menawarkan rekabentuk baru ergonomik bagi menjamin keselesaan terbaik bagi pemanduan jarak jauh.

Turut diperkenalkan adalah trak Isuzu N-Series Road King Hi-Power dengan enjin bercaj turbo terbaru. Rangkaian Isuzu N-Series ini telah kembangkan dengan pengenalan model NPR dan NKR Road King Hi-Power.  Kesemua trak ini menepati piawaian Euro 2 dan sesuai bagi keadaan perjalanan yang mencabar serta peningkatan keupayaan membawa beban.

“Seperti semua kenderaan Isuzu, trak-trak baharu ini mencapai keseimbangan unggul dari segi prestasi, keberkesanan dan ketahanan. Pengguna trak ini memperoleh penjimatan kos pengendalian yang lebih baik  kerana semua model baharu ini mempunyai tork enjin yang  tinggi,” kata Ketua Pegawai Eksekutif Isuzu Malaysia, Kimitoshi Kurokawa.

Beliau juga menambah bahawa penambahbaikan trak-trak ini akan membawa faedah besar kepada operator perniagaan berikutan prestasinya yang tinggi serta keberkesaanan pengurangan kos pengendalian.

FVR 700P generasi keenam ini didatangkan dalam dua varian dengan keupayaan bebanan yang berbeza, seiring dengan siri FTR sekarang yang terus menampung keperluan pengangkutan jarak dekat. FVR dtawarkan pada RM199,507.00 bagi varian bertapak 4.65 meter, manakala varian 6.05 meter pula ditawarkan pada tambahan harga RM6,000.00.

Isuzu Malaysia mensasarkan jualan sebanyak 6,350 unit bagi kenderaan komersial mereka tahun ini, dengan 45% daripadanya merupakan jualan trak-trak Isuzu N-Series serba boleh menerusi 30 pusat jualan mereka di seluruh negara. Untuk maklumat lanjut serta lokasi pusat jualan yang terdekat, sila layari www.isuzu.net.my atau hubungi talian 1-300-88-1133. -Salihin Abd Rahim

 

Gambar: (Dari kiri) Kimitoshi Kurokawa bersama Ketua Jurutera Global Product Planning Ryo Miwa, Ketua Pegawai Operasi Isuzu Malaysia Daisuke Ishida,dan Pengarah Eksekutif Isuzu Malaysia Katsuro Ishihara di hadapan trak Isuzu FVR baharu