Percubaan Qi memandu model hibrid Honda selama seminggu ubah tanggapan

Personaliti kelahiran Pulau Pinang, Qi Razali jujur mengakui ini merupakan pengalaman pertama beliau memandu kereta hibrid sekaligus berjaya mengubah pandangan negatif yang kerap kedengaran yang menyatakan bahawa kereta hibrid tidak setaraf dengan kereta lain dari segi pemanduan dan prestasinya.

Qi Razali yang lebih mesra dengan panggilan ringkas Qi memberitahu, “Sebelum diberi peluang untuk memandu kereta Jazz Hybrid ini, saya selalu fikir ia leceh kerana perlukan masa untuk cas bateri dengan prestasi memandu yang tidak seberapa. Bagi saya ia amat leceh,” jelasnya.

“Namun selepas memandu kereta ini, saya rasa ia sama seperti kereta lain. Tiada apa yang kurang walaupun dari segi pemanduan dan lebih menarik kereta ini mesra alam,” tambah Qi.

Senyap, lancar dan praktikal merupakan antara aspek yang digemari beliau terhadap kereta Jazz Hybrid. Beliau merupakan pelakon dan pengacara menjelaskan kerana enjin kereta ini terlalu senyap, beliau kadang-kala keliru sama ada enjin kereta sudah dihidupkan ataupun belum.

“Ada masanya ketika berhenti di lampu isyarat dan menerima panggilan, apabila rakan yang menelefon bertanya saya di mana dan memberitahu saya di dalam kereta, ada yang menyangka kereta saya rosak kerana tidak mendengar bunyi enjin kereta, ini kerana kereta ini akan mematikan enjin apabila di lampu isyarat bagi menjimatkan penggunaan minyak.”

Menyukai lampu interaktif yang terdapat pada bahagian meter, Qi mengganggap ia bagaikan permainan video kerana sebagai pemandu, dia harus mencuba untuk mengekalkan warna hijau pada lampu sebagai membuktikan dia memandu dengan bijak dan dapat mengawal penggunaan minyak.

“Jazz Hybrid ini bukan sahaja mesra alam, mudah dikendalikan, jimat bahan api malah ia juga selesa untuk pemandu dan penumpang serta ruang bagasi juga amat luas, sesuai untuk mereka berkeluarga,” jelas Qi.

Antara tabiat buruk yang tidak dapat dielak ketika memandu ialah sering mengabaikan penggunaan signal seperti ketika membelok, menukar lorong memandu sesuka hati dan bermesej ketika di lampu isyarat.

Beliau menambah, “Sepupu saya selalu menegur mengenai sikap saya berubah ketika memandu kerana sering marah, memaki hamun dan membebel. Kelakarnya saya tidak sedar langsung mengenai perubahan tersebut sehingga ditegur kerana ia hanya berlaku ketika saya memandu.”

Merupakan anak bongsu dari empat beradik, Qi merancang untuk menukar kereta sedia ada sekarang kepada Jazz Hybrid pada tahun hadapan selaras dengan azam untuk membantu mengurangkan pencemaran alam selain tertarik dengan reka bentuk luaran dan dalaman kereta hibrid ini.

“Sebenarnya kita harus berani mencuba sesuatu yang baru kerana selagi kita tidak mencuba, kita tidak akan dapat menilainya secara tulus,” ujar Qi mengakhiri perbualan. – Asyikin Md. Isa.