Nama yang diberikan kepada kereta nasional terbaru ini mungkin sedikit asing bagi rakyat Malaysia. Preve dipilih kerana maksudnya iaitu ‘bukti’ yang dianggap bersesuaian dengan sasaran Proton untuk membina kenderaan paling maju untuk pasaran.
Bukan sahaja dari pihak Proton, rakyat negara ini juga begitu teruja sebaik ia dilancarkan. Pelbagai pandangan diberikan orang ramai melalui segala saluran yang ada dan secara tidak langsung menunjukkan betapa pentingnya kenderaan ini pada mereka.
Projek yang bermula tiga tahun lalu akhirnya berkesudahan dengan penawaran tiga varian Preve; 1.6 IAFM manual, 1.6 IAFM CVT dan 1.6 CFE CVT.
Tidak dinafikan apabila semua orang bercerita tentang kenderaan ini, penulis sendiri rasa teruja untuk memandunya dan peluang yang diberikan oleh pihak Proton untuk sesi pandu uji ke Cherating, Pahang diterima dengan tangan terbuka.
Namun, hanya dua varian yang disediakan untuk sesi ini iaitu 1.6 manual dan 1.6 CFE dan penulis memulakan perjalanan dalam Preve transmisi manual.
Duduk di dalamnya adalah selesa dan apa yang boleh dilihat, keseluruhan bahagian disusun ringkas dan ‘senang’ dipandang walaupun ada bahagian yang nampak pernah digunakan pada model Proton yang lain.
Kenderaan yang dinaiki oleh penulis ini sudah pun melalui proses ‘kematangan’ di mana catatan batuannya sudah hampir mencecah 3,000 kilometer. Pijak pedal klac, masukkan gear dan pusingan stereng semuanya masih terasa ketat dan padat. Jika memang begitu keadaannya, penulis memang menggemarinya. Menurut jurutera yang turut sama berada dalam kenderaan, tombol gear Preve juga dipendekkan dan dilaras dengan kemasukannya agar memberi rasa sporty.
Dari segi kuasa, ia sekadar memadai dan jika anda bukan jenis yang agresif, ia sudah mencukupi. Namun begitu, anda boleh menikmati pemanduan yang mengujakan apabila di selekoh kerana suspensinya yang meyakinkan. Mengikut pengalaman penulis, walaupun ada bahagian jalan yang tidak rata, gegaran dapat diserap dengan baik dan kawalan stereng serta badan kereta tidak mudah terjejas.
Keadaan suspensi yang sama turut dirasa pada varian 1.6 CFE setelah penulis bertukar kenderaan di stesen minyak Petronas, Bentong.
Bezanya, sudah tentu adalah kuasa enjin CFE yang mendapat bantuan daripada unit turbo tekanan ringan. Jika kenderaan sedang meluncur dengan sekata dan kemudian anda cuba memberi tekanan tambahan pada pedal minyak, tindak balas dari unit turbo ini segera dapat dirasa.
Tapi jika anda cuba untuk menikmati tarikan bermula dari keadaan pegun, ia tidak begitu mengujakan. Mungkin kerana transmisi CVT yang lebih mempunyai kekuatan dalam penjimatan minyak dan penyampaian kuasa lebih lancar dan selesa.
Bagi sebuah keluarga, kenderaan ini dianggap bersesuaian kerana melalui pandangan penulis, ruang simpanan dan tempat duduk belakangnya agak luas sementara hentakan suspensi juga menyenangkan.
Dengan itu, penulis berpendapat mengapa tidak kenderaan ini diangkat sebagai kebanggaan negara. Ia baru, segar, mempunyai pelbagai ciri teknologi terkini dan pemanduannya selesa. - Durrani Sharom, 1 Mei 2012.
SPESIFIKASI - Proton Preve
Enjin: 1.6 CAMPRO IAFM, 1.6 CAMPRO CFE
Transmisi: Manual lima kelajuan, CVT
Kuasa maksimum: 107hp @ 5,750rpm (IAFM), 138hp @ 5,000rpm (CFE)
Tork maksimum: 150Nm @ 4,000rpm, 205Nm @ 2,000 – 4,000rpm
Ciri keselamatan: ABS, EBD, beg udara SRS berkembar, Kawalan Cengkaman (TC), Pengawal Stabiliti Elektronik (ESC), Beg udara sisi, lampu hadapan automatik. Semuanya bergantung kepada varian.
Ciri-ciri lain: Butang kawalan di stereng, pedal penukar gear di stereng, butang pemula, auto cruise, pengelap cermin automatik, sistem audio CD, MP3 dengan sambungan Bluetooth, USB, iPod dan navigasi GPS.
Harga: RM59,990 (IAFM manual), RM62,990 (IAFM CVT) dan RM72,990 (CFE)












