Motosikal / Tunggang Uji / Ulasan

KTM Adventure 1050 – Jentera jelajah berkeupayaan tinggi

Jan 27, 2016 · 13:01 PM

Ketibaan unit CKD KTM Adventure 1050 diumumkan dengan harga jualan RM68,888

KTM Adventure 1050-0005

Motosikal jenis jelajah kini semakin popular di Malaysia dan penawarannya di dalam pasaran bertambah dengan ketibaan model baharu jenama dari Austria, iaitu KTM Adventure 1050. 30 unit pertama yang diimport terus dari Austria sudah habis dijual dan kini, model pemasangan tempatannya (CKD) pula ditawarkan pada harga menarik, RM68,888.

Dalam barisan motosikal kembara KTM, Adventure 1050 dipanggil sebagai model permulaan tetapi peralatan yang ada padanya cukup lengkap berserta sistem elektronik canggih. Ia juga dihasilkan untuk menjelajah di atas jalan biasa tetapi masih dapat menerima keadaan kasar (offroad) yang ringan, melihatkan penggunaan rim jenis aloi dan tiada pilihan ‘off-road’ dalam mod tunggangan.

KTM Adventure 1050-0002

Melihat kepada bentuknya, sesetengah orang mungkin rasa tak yakin untuk menunggangnya kerana ia tinggi dan besar, tetapi daripada pengalaman kami menunggangnya ke Goh Tong Jaya melalui jalan berliku Hulu Yam bersama pemilik KTM Adventure 1050 yang lain, ia cukup mudah dikendalikan. Malah, salah seorang pemilik itu adalah perempuan dan kelihatan sungguh yakin menguasai KTM Adventure 1050. Antara ciri yang boleh membantu adalah tempat duduknya berketinggian hanya 850mm.

KTM terkenal dengan motosikal yang berkelakuan agresif walaupun mempunyai kapasiti yang kecil sesuai dengan temanya ‘Ready To Race’. Tetapi bagi KTM Adventure 1050, ia tidak keterlaluan walaupun enjinnya adalah unit 1,050cc. Pendikit mudah dikawal meskipun dalam mod tunggangan Sport tetapi tarikannya memang terasa.

KTM Adventure 1050-0006

Kedudukan piston V 75 darjah menghasilkan kelebihan ini dan penulis juga dapat merasakan, KTM Adventure 1050 mempunyai kurang kesan gegaran dari enjin sehingga memasuki kelajuan tinggi. Ini seterusnya memberikan lebih keselesaan kepada penunggang.

Merujuk kepada aspek prestasi, selain enjin berkuasa, bahagian lain KTM Adventure 1050 juga cukup memuaskan. Walaupun adalah sebuah motosikal kembara, wakil media yang menyertai sesi tunggang uji ini kebanyakannya seperti terlupa dan turun begitu rendah sewaktu mengambil selekoh kerana ia cukup meyakinkan hasil penggunaan suspensi prestasi WP.

KTM Adventure 1050-0004

Namun, yang lebih dihargai penulis adalah apabila menurunkan gear secara agresif sebelum selekoh, tayar belakang tidak bergegar kerana KTM Adventure 1050 menggunakan klac ‘anti-hopping’.

Selain itu, motosikal ini juga dilengkapi dengan sistem kawalan cengkaman (Traction Control) untuk menghadkan kuasa sekiranya gelinciran dirasa pada tayar belakang. Brek juga boleh diharap kerana dilaksanakan oleh unit angkup Brembo.

Jika anda mencari jentera kembara, KTM Adventure 1050 tentunya patut dilihat. Aspek yang lebih menarik, harganya terletak pada tahap ‘mampu milik’ dan anda dapat menikmati pelbagai kelengkapan berprestasi. – Durrani Sharom

KTM Adventure 1050-0009
Spesifikasi KTM Adventure 1050 CKD

Enjin: 1,050cc, silinder V berkembar 75 darjah, DOHC, empat injap setiap silinder, empat lejang
Transmisi: Enam kelajuan, klac ‘anti-hopping’PASC
Kuasa maksimum: 95hp
Tork maksimum: 107Nm
Berat: 212kg
Kapasiti tangki: 23 liter
Brek hadapan: cakera berkembar 320mm dan angkup empat piston
Brek belakang: cakera 267mm tunggal dan angkup dua silinder
Suspensi hadapan: ‘Fork’ terbalik (USD) WP Suspension
Suspensi belakang: ‘Monoshock’ WP Suspension
Ciri keselamatan: Traction Control, brek ABS
Harga: RM68,888 (tidak termasuk insurans dan GST)

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This blog is kept spam free by WP-SpamFree.