‘Katoom’ merupakan nama timangan bagi jenama motosikal KTM yang begitu sinonim dengan kejuaraan motocross dan juga supermoto. Jentera KTM telah mendominasi arena Rali Dakkar selama sepuluh tahun berturut turut dalam kategori motosikal yang ditunggang oleh Cyril Dupres.

Malah peminat KTM mungkin mengetahui bahawa bendera Jalur Gemilang juga turut menghiasi motosikal Dupres, hasil kerjasama rapat KTM Malaysia dengan syarikat pengeluar Austria itu.

Jentera KTM 690 Duke mula diperkenalkan di EICMA 2011. KTM 690 Duke dan juga model seirasnya KTM 690 Duke R kini dipasang di kilang syarikat itu di Pauh, Perlis sebagai model CKD yang akan menjadi hab pemasangan KTM di Asia.

Model 690 Duke ini membawa kembali ciri-ciri jati diri KTM dalam sukan motard disamping menggabungkan elemen permotoran lasak luar-jalan (off-road). KTM 690 Duke dikuasakan oleh enjin 690cc LC4 satu silinder yang mampu menjana 70hp dan tork sebanyak 69Nm untuk memacu keseluruhan pakej motosikal yang seberat hanya 149kg ini.

KTM telah mereka bentuk semula kepala silinder baru bagi KTM Duke ini dan ditambah sistem pencucuhan baru dan juga pakej tunggangan-dengan-wayar (ride-by-wire).

Sistem gantungan dikendalikan oleh WP, yang juga merupakan subsidiari KTM, dengan sepasang fork 43mm hadapan, dan satu penyerap hentakan tunggal boleh laras sepenuhnya bagi mengampu bahagian belakang belakang.

Walapun ada yang berpendapat bahawa enjin satu selinder adalah terbatas, namun KTM berjaya memaksimakan keluaran kuasa enjin silinder tunggal, dengan penyampaian tork yang baik bagi memacu motosikal 149kg tersebut. Ini merupakan resipi yang amat disukai oleh mereka yang menginginkan pengendalian tajam dan prestasi penuh kuasa.

Bermula dari 3,000 rpm ke atas, dan enjin ini tidak akan sabar-sabar untuk meluncurkan anda tanpa risau. Bergerak lancar, gegaran yang mungkin dianggar oleh sesetengah pihak dari enjin ini rupanya telah dibatalkan oleh sistem timbal-balik (counter-balance system) .

Seolah sesuatu yang amat biasa dengan ‘Katoom’ ini, Duke didatangkan dengan pilihan peralatan prestasi seperti kit penalaan Racing Cam, kotak udara lutsinar, pengadang tangan Acerbis Rally III, penutup kotak pencucuhan KTM, dan pelbagai lagi peralatan berkualiti.

Sebuah jentera yang sangat padat, ia nya benar-benar untuk dilibas sekitar selekoh tajam, atau untuk menyeberangi halangan jalan dan mendaki laluan kaki lima ke seberang sana apabila kesesakan lalu lintas mula menguji kesabaran anda. Amat meyakinkan untuk kendalian mudah, 690 Duke ini akan mengujakan anda setiap kali enjinnya dihidupkan. - Salihin Rahim.

Spesifikasi KTM 690
Enjin: 690cc, silinder tunggal, 4 lejang, sejukan cecair
Kuasa maksimum: 67hp @ 7,500rpm
Tork maksimum: 69Nm @ 5,500rpm
Transmisi: 6-kelajuan
Nisbah Mampatan: 11.8:1
Liang x lejang: 102mm x 84.5mm