1. Minyak enjin prestasi
Saya mempunyai kereta 1,300cc dan menggunakan minyak enjin sintetik penuh 10W60. Apakah kesan jangka masa panjang jika saya terus menggunakannya? Ada pendapat mengatakan enjin akan cepat mengalami kebocoran berbanding jika menggunakan minyak yang disyorkan pengeluar. 0136362544
Jawapan: Minyak pelincir gred 10W60 biasanya disyorkan untuk kegunaan enjin yang berprestasi tinggi seperti kereta BMW siri M dan lain-lain. Ianya tiada masalah untuk digunakan dalam enjin kereta biasa cuma harganya yang lebih tinggi menjadikan ia tidak ekonomik dan kebaikannya tidak dapat dinikmati sepenuhnya pada enjin biasa.
2. Sistem penyejuk ATF
Apakah keperluan pemasangan sistem penyejuk ATF untuk situasi trafik di Lembah Kelang dan suhu panas di Malaysia? 0136134134
Jawapan: Dengan keadaan panas dan kesesakan lalu lintas di negara kita, kebanyakan kotak gear memerlukan sistem penyejuk minyak kotak gear automatik atau ‘ATF Cooler’. Kalau tidak silap pada suatu ketika dahulu kereta Proton Perdana selalu mempunyai masalah dengan kotak gear automatik dan antara sebabnya ialah kepanasan yang berlebihan. Begitu juga dengan sesetengah kereta Peugeot berbanding dengan kereta Citreon kerana kereta Citreon dipasang dengan “ATF Cooler” yang lebih besar saiznya.
3. Kuat minyak
Saya menggunakan Proton Saga SE yang dibeli pada tahun 2009. Saya memandunya setiap hari dan kini batuan sudah mencapai 81,000km. Sebelum ini saya menggunakan petrol sebanyak 11sen/km bagi kelajuan memandu 100km/jam.Tapi kini bahan api yang digunakan pada kelajuan sama meningkat kepada 15-16sen/km. Soalan saya apakah sebabnya? Servis dilakukan mengikut jadual. 0164619044
Jawapan: Tahniah kerana menjaga kereta anda dengan baik dengan melakukan servis mengikut jadual. Penjimatan penggunaan minyak petrol ada suatu yang sangat subjektif. Ia banyak bergantung kepada cara pemanduan, keadaan jalan, kesesakan lalu lintas, beban yang berlebihan dan keadaan keseluruhan kereta. Walaupun servis dilakukan mengikut jadual pastikan servis itu bukan hanya setakat menukar minyak pelincir tetapi termasuk memeriksa keadaan penapis udara dan palam pencucuh, membuat talaan enjin dan memastikan sistem brek tidak ‘binding’ atau berlaku pergeseran yang berlebihan semasa brek tidak ditekan. Tekanan angin tayar yang kurang daripada yang disyorkan juga boleh meningkatkan penggunaan petrol.
4. Kit Evo 3 pada Wira
Adakah JPJ meluluskan penggunaan kit badan Evo 3 pada Proton Wira sepenuhnya termasuk lampu belakang? 0139364115.
Jawapan: Pada dasarnya semua perubahan yang ketara dilakukan keatas sesebuah kereta motor memerlukan kelulusan dari pihak Jabatan Pengankutan Jalan (JPJ) termasuk pertukaran warna cat badan kereta.
TIP PENJAGAAN TAYAR - Bersih tepi tayar
Untuk membersihkan bahagian tepi tayar (sidewall), gunakan sabun biasa dan kemudian jirus dengan air. Berhati-hati dengan bahan pembersih yang tidak diketahui asalnya kerana ada bahan kimia yang boleh menyebabkan tayar merekah seterusnya memendekkan jangka hayat tayar dan membahayakan keselamatan.




