Talaan semula itu bagaimana?

Kita selalu dengar apabila prestasi enjin kereta sudah mula menurun, kita dinasihati untuk melakukan talaan semula. Boleh tolong terangkan apakah perkara yang dilakukan oleh mekanik semasa talaan enjin ini. Berapa anggaran kosnya (dengan menganggap komponen piston, ring, silinder, sistem nyalaan dan suntikan dalam keadaan baik)? 0125527992

Jawapan: Talaan (tuning) untuk mengembalikan pretasi enjin perlu dilakukan kerana walaupun sesuatu sistem pengurusan enjin atau ’EMS/ECU itu canggih, ’setting’ asal programnya boleh berubah. Untuk melakukan talaan, alat komputer ’engine diagnostic’ akan disambung pada enjin. Apabila enjin dihidupkan alat ini akan mengenal pasti semua kesilapan (faults) pada semua sistem termasuk sistem nyalaan atau ignition dan sistem suntikan bahan api. Dua sistem ini adalah penting bagi menentukan prestasi enjin terutama ketentuan masa (timing) nyalaan atau percikkan pada palam pencucuh serta kekuatan nyalaan tersebut dan ketentuan masa serta jumlah bahan api yang disuntik ke dalam ruang pembakaran. Satu lagi adalah ketentuan masa pembukaan dan penutupan injap udara masuk dan asap ekzos keluar terutama enjin yang dipasang dengan sistem VVT. Begitu juga dengan sistem pengukuran pengaliran udara ke dalam enjin atau dipanggil ‘mass air flow (MAF) system’.

 

Air dalam tangki kering

Saya pemilik Gen 2 (1.6L) 2008 dengan enjin Campro. Air tangki kering. Saya pernah potong ‘head’, start enjin pula tak boleh. Apa masalahnya? Adakah ia disebabkan pemotongan head berkenaan atau saya perlu menukar head yang baru terus? Sekarang Gen2 saya tak boleh jalan langsung. 0129877603

Jawapan: Apabila sistem penyejukan enjin mengalami kebocoran atau kerosakan, thermostat yang mengawal suhu enjin akan menjadi terlalu panas dan bahagian paling terjejas ialah ‘cylinder head’ dan ‘cylinder head gasket’. Gasket boleh terbakar menyebabkan kebocoran air penyejuk (coolant) dan ‘cylinder head’ yang diperbuat dari alloi aluminium boleh bengkok. Gasket mudah ditukar tetapi ‘cylinder head’ yang bengkok perlu dipotong sedikit pada permukaan yang terjejas. Pemotongan ini perlu dilakukan oleh mereka yang mahir dan jika pemotongan terlalu banyak ia akan mengundang masalah lain iaitu menambah nisbah pemampatan (compression ratio) yang boleh menambah sedikit kuasa enjin, tetapi ia menyebabkan enjin akan menjadi lebih panas dan akan menambah beban (stress) kepada semua bahagian enjin. Jika enjin tidak boleh dihidupkan langsung, dapatkan mekanik yang mahir memereksa enjin tersebut kerana setelah mengalami kepanasan (overheat), banyak bahagian lain juga yang boleh terjejas. 

 

Enjin dibiarkan hidup

Saya selalu lihat kenderaan diesel tidak bergerak tetapi enjin tidak dimatikan. Selain membazir bahan api, apakah kesan-kesan lain? 0122358211

Jawapan: Selain membazir bahan api, jika sesuatu enjin dibiarkan hidup atau ‘ildling’ tanpa bergerak, ia akan memendekkan usia enjin tersebut atau menambah “wear and tear” pada enjin. Selain itu ia memberi kesan negatif pada alam sekitar serta menambah pencemaran pada udara dari asap eksos yang keluar dari enjin yang tidak menggunakan tenaganya untuk menggerakkan kenderaan.

 

TIP PENJAGAAN TAYAR - Jaga keselamatan di kelajuan tinggi

Bagi pemandu yang selalu memandu laju, di sini ada beberapa tips untuk anda. Tekanan tayar yang rendah boleh menyebabkan hydroplanning dan pecah. Jadi tingkatkan tekanan tayar sebanyak 5 psi daripada tekanan yang dicadangkan pengeluar sebelum memandu. Selain itu, jangan gunakan tayar yang rosak dan tidak dibetulkan dengan elok.