1. Kereta tidak bergerak lama

Kereta anak saya akan ditinggalkan dan tidak dihidupkan enjin dalam jangka masa lama kerana anak saya bertugas ke luar negara. Apakah tindakan yang perlu dibuat terhadap kereta tersebut? 0175005773
Jawapan: Untuk kereta yang disimpan pada jangka masa agak lama seelok-eloknya kabel bateri ditanggalkan dan alaskan kereta supaya keempat-empat tayar tergantung dan tidak menjejak lantai. Juga kereta tersebut hendaklah disimpan di tempat yang tertutup dari cahaya matahari dan tidak terdedah pada cuaca hujan.

2. Tukar atau baik pulih

Saya nak tanya apa yang terbaik sama ada saya tukar enjin atau overhaul? Kereta saya jenis Perodua Kenari. Kalau saya tukar enjin apa yang terbaik? whoffice@pahangpharmacy.com.my
Jawapan: Untuk memilih sama ada tukar enjin atau dibaik pulih (overhaul) adalah dengan membandingkan kos bagi keduanya. Baik pulih agak mudah kerana hanya bahagian atau komponen tertentu sahaja yang perlu ditukar atau diperbaiki. Jika ditukar enjin yang lain, tidak dapat dipastikan sama ada enjin terpakai tersebut berkeadaan memuaskan pada keseluruhannya.

3. Bunyi pada brek

Saya mempunyai MPV Grand Livina tahun 2010, masalah saya ialah terdapat bunyi geseran pada pad brek sebelah kanan. Bunyi tersebut lebih ketara apabila membelok ke kiri, tetapi bunyi geseran tersebut tiada pada gear undur. Untuk pengetahuan tuan saya telah hantar kereta saya ke pusat servis Nissan di Kuala Terengganu. Mekanik menyatakan ia masalah biasa pada MPV Grand Livina. Dua hari saya tinggalkan kereta saya di pusat servis tersebut. Hasilnya mengecewakan, bunyi geseran tetap ada. Saya terpaksa hantar ke kedai lain. Antara pembaikan yang telah dilakukan ialah ‘lane disc break’, tukar pad brek dan yang terbaru tukar bearing. Tetapi masalahnya tetap sama, ada mekanik mengesyorkan saya tukar ‘drive shaft’ pula. Apa masalah kereta saya ini? 0139186814.
Jawapan: Ada sesetengah masalah bunyi yang keluar dari bahagian kereta agak sukar untuk dikenal pasti. Bunyi yang tak sepatutnya ada bukanlah masalah biasa seperti yang diberitahu oleh sesetengah mekanik yang tidak peka pada masalah yang ditanggung pengguna. Disyorkan dapatkan khidmat mekanik yang memang pakar dalam sesuatu model kereta untuk menenalpasti masalah bunyi sebenar.

4. Tukar jenis nat tayar

Saya memiliki kereta Peugeot 406. Kereta ini menggunakan bolt screw untuk mengunci rim tayar. Saya bercadang untuk menukarnya kepada jenis stud dan nut . Adakah ia mempunyai risiko dari segi keselamatan atau gegaran? Di manakah tempat atau bengkel untuk saya buat ‘stud conversion’ ini kerana sudah beberapa kedai tayar yang saya tanya tetapi mereka tidak mempunyai kepakaran dalam bidang ini. Saya tinggal di Pulau Pinang.luziaf5@yahoo.com.

Jawapan: Mengapa suadara perlu menukarkan dari jenis skrew kepada jenis nut. Biasanya kereta keluaran Eropah rimnya dipasang menggunakan skru dan kereta keluaran Asia menggunakan nut. Kedua-duanya ada buruk dan baiknya. Proses penukaran dari skru kepada nut perlu dilakukan oleh mereka yang mahir kerana jika tidak ia akan mengundang kepada keadaan yang boleh membahayakan dan boleh mengakibatkan kemalangan maut.

TIP PENJAGAAN TAYAR

Pilih rim yang betul

Sekiranya anda menukar rim asal kepada jenis sport atau lain-lain, pastikan ia bersesuaian dengan kenderaan anda. Sebagai contoh, rim yang lebih lebar di belakang adalah untuk kenderaan yang menggunakan pacuan roda belakang. Jika digunakan pada kenderaan pacuan hadapan, ia mungkin tidak akan membawa kesan buruk yang ketara tetapi hanya akan menjejaskan nisbah berat kenderaan.