1. Punca cermin pecah
Kereta Satria tahun 1997 saya baru-baru ini cerminnya pecah secara tiba-tiba ketika dalam perjalanan. Adakah ia berpunca daripada penggunaan ‘Rain Repel’ atau memang disebabkan jangka hayat cermin itu sendiri? 0192038372.
Jawapan:
Cermin hadapan kereta ialah salah satu bahagian paling terdedah pada bencana yang boleh menyebabkan ianya pecah. Cermin hadapan juga sebahagian dari struktur keteguhan rangka badan kereta yang dibebani tekanan. Apabila terkena lantunan batu kecil semasa memandu laju di jalan raya, cermin hadapan boleh menjadi sumbing. Kecatatan kecil ini boleh menambah tekanan pada permukaan cermin tersebut. Apabila terdedah pada ketidaksamaan suhu luar oleh terik matahari dan suhu dalam oleh pendingin hawa, ia boleh pecah dengan tidak tiba-tiba. Penggunaan cecair seperti ‘rain repel’, ‘rainX’ dan lain-lain tidak mungkin menyebabkan cermin pecah dengan sendiri.
2. Alihkan kereta
Bagaimana nak alihkan kereta berstereng kuasa yang enjinnya tidak boleh dihidupkan? 0174909072.
Jawapan:
Sekarang ini kebanyakan kereta sudah dilengkapi dengan stereng berkuasa atau ‘power steering’ untuk keselesaan pemanduan. Stereng berkuasa hanya aktif semasa enjin hidup. Jika enjin tidak hidup atau stereng berkuasa rosak, stereng tersebut masih boleh dipusing cuma ianya terasa amat berat.
3. Perlukah pasang Surbo?
Saya ada terbaca mengenai ‘Surbo’ di majalah. Adakah ia berbaloi untuk saya pasang pada kereta saya? 011115624255
Jawapan:
Surbo ialah suatu alat yang dipasang dalam sistem kemasukan udara dalam enjin atau ‘air intake system’. Tujuannya untuk menjadikan aliran udara yang masuk ke dalam ruang pembakaran berputar dan pada teorinya menjadikan pembakaran lebih efektif. Kebaikan mungkin ada tetapi tidak seperti yang diwar-warkan oleh pengeluar. Sama ada berbaloi atau tidak anda perlu mengujinya sendiri.Tapi kalau kereta anda masih dalam jaminan jangan pasang alat tersebut kerana ia akan membatalkan jaminan tersebut.
4. CVT kereta dan motosikal
Adakah sistem dan fungsi CVT pada kereta masa kini sama seperti CVT skuter? 0127464004
Jawapan:
Sistem dan fungsi CVT yang dipasang pada kereta dan skuter adalah sama iaitu untuk menukar nisbah atau ‘ratio’ pusingan enjin berbanding dengan pusingan roda. Cuma yang berbeza CVT pada kereta menggunakan tali logam atau ‘metal belt’ serta menggunakan minyak seperti kotak gear biasa manakala skuter pula biasanya menggunakan tali dari getah atau plastic.
TIP PENJAGAAN TAYAR
Elakkan tayar terpakai
Jika anda ingin mengurangkan kos waktu menukar tayar, elakkan daripada membeli tayar terpakai. Ini kerana tayar jenis walaupun nampak elok, kecacatannya mungkin tersembunyi. Contoh paling mudah adalah tayar yang sudah melebihi tempoh hayat dan keras. Ada kalanya, lepas dimasukkan angin baru anda nampak kekurangan tayar ini.




