1. Turbo Exora Bold

Turbo Exora Bold dikatakan mula berfungsi pada 2,000rpm. Adakah ia akan berfungsi secara berterusan dalam perjalanan jauh dengan kelajuan antara 110 hingga 120km/j? Apakah kesan kepada suhu enjin dan penggunaan petrol? 0124391956

Jawapan: Alat “turbo-charger” yang dipasang pada enjin Proton Exora Bold berfungsi untuk meningkatkan kuasa dan tork dengan memanfaatkan gas eksos untuk menaikkan isi padu udara yang masuk ke dalam enjin. Ia direka bentuk untuk berfungsi dari pusingan 2,000rpm hingga pusingan maksimum enjin. Untuk menampung tambahan kuasa tadi, sistem penyejukan enjin juga ditingkatkan pretasinya supaya suhu enjin berada pada tahap yang memuaskan. Pengggunaan minyak sepatutnya lebih jimat kerana prestasi enjin yang lebih cekap. Tetapi oleh kerana prestasi enjin yang meningkat, ia boleh membawa kepada perubahan cara pemanduan, menjadi lebih agresif dan akan meningkatkan pengggunaan petrol.

2. Enjin Volvo mati ketika bergerak

Saya mempunyai sebuah Volvo 940 automatik tahun 1995. Masalahnya, enjin mati ketika sedang memandu. Tetapi ia boleh dihidupkan kembali namun mati lagi apabila bergerak. Enjin tidak menyentap dan berjalan lancar. Apa masalahnya? 0134481282.

Jawapan: Dua perkara yang boleh menyebabkan enjin mati semasa kereta di pandu. Pertama, sistem pembakaran atau ‘ignition’ yang mengandungi ‘ignition coil’ yang mungkin tidak berfungsi sebaiknya ketika suhu enjin meningkat. Satu lagi adalah sistem bahan api iaitu saluran paip dari tangki ke ‘fuel injector’. Jika saluran paip tersebut terletak berdekatan dengan ekzos, suhu tinggi boleh menyebabkan ‘air-lock’ seterusnya menyekat aliran minyak.

3. Enjin MPV baru bocor

Saya baru seminggu membeli MPV baru tetapi minyak enjin telah bocor akibat keretakan enjin. MPV ini telah dihantar untuk baik pulih dan akan mengambil masa yang lama. Ini menyukarkan urusan harian saya. Apakah bentuk ganti rugi yang boleh saya tuntut dari pengeluar selain kenderaan gantian sementara sahaja? Saya amat kecewa dengan kualiti MPV ini. 0124391956.

Jawapan: Adakah masalah keretakan enjin tersebut sudah dimaklumkan kepada pihak pengurusan syarikat pengeluar atau pengedar MPV tersebut? Adakah mereka menerima punca keretakan itu adalah kecacatan asal enjin dan seeloknya dapatkan segala pengakuan dalam hitam putih. Kalau mengikut surat jaminan, pihak pengeluar ada dua pilihan sama ada untuk membaiki kerosakan tersebut atau menggantikannya dengan yang baru. Berkenaan dengan kehilangan hak penggunaan semasa ia dibaiki, saudara boleh membuat permintaan untuk mendapat kereta gantian sementara. Kalau syarikat tidak mengambil tindakan yang memuaskan, saudara boleh membuat aduan pada tribunal pengguna.

TIP PENJAGAAN TAYAR

Tekanan angin yang betul

Kadar tekanan angin tidak boleh diketahui hanya dengan hanya melihat melalui mata kasar. Ada kalanya, tekanan angin yang betul nampak seperti tayar tersebut kekurangan angin, terutamanya tayar ‘Low Profile’. Jadi, cara paling cekap adalah menggunakan tolok pengukur angin yang boleh dibeli di kedai-kedai tayar atau pam angin itu sendiri.