ECU Civic 1.7 boleh servis?

Adakah kotak komputer Civic 1.7 tahun 2001 boleh diservis? Jika tidak boleh, senaraikan kedai potong yang ada jual di Kuala Lumpur atau Ipoh. Pusat servis Honda jual mahal sangat. 0125472419

Jawapan: Kotak komputer ialah alat yang jarang dapat diservis atau dibaiki kerana ia memerlukan kemahiran dalam bidang elektronik komputer. Biasanya, jika dikenal pasti ia bermasalah, ia akan ditukar dengan yang baru. Oleh kerana ia adalah alat yang canggih dan boleh dikira sebagai jantung bagi sesebuah kereta dan jarang ditukar menyebabkan harganya agak mahal. Cuba dapatkan model yang sama dari kedai kereta potong. Tetapi ia tidak akan mempunyai jaminan berbanding jika dibeli daripada pengedar kereta yang sah.  

 

Suhu meningkat ketika perlahan

Apakah yang menyebabkan suhu radiator meningkat ketika memandu kereta perlahan dan di jalan sesak tetapi apabila dipandu agak laju di jalan lurus ia kembali stabil. Tangki sudah diservis dan kipas masih baik. Berapakah lama masa yang diambil untuk kipas radiator berpusing dan berhenti? 0124372374

Jawapan: Jika suhu enjin meningkat ketika memandu perlahan dan ketika kesesakan jalan raya biasanya disebabkan kipas yang tidak berfungsi dengan baik. Jika kipas berkeadaan baik, alat pengesan suhu pada enjin atau ‘temperature sensor’ tidak berfungsi dengan memuaskan. Dapatkan mekanik anda untuk menukar alat pengesan suhu yang sudah dipastikan berfungsi dan lakukan uji pandu dan perhatikan keadaan suhu enjin. Selama mana kipas berfungsi bergantung pada keadaan suhu enjin yang isyaratnya datang dari “sensor” ke kipas. Lagi tinggi suhu enjin lagi lama kipas berfungsi. Ada sesetengah model bukan sahaja kipas berpusing tetapi kelajuan pusingannya disesuaikan dengan suhu enjin. 

 

Bacaan rpm dan petrol

Betulkah bacaan rpm enjin pada satu kelajuan kereta boleh dipengaruhi oleh petrol? Bukankah kadar rpm bergantung kepada rekaan mekanikal enjin? Adakah ia gimik iklan petrol sahaja? 0124391956

Jawapan: Saya bersetuju dengan saudara yang kelajuan kereta pada gear tertentu bergantung terus pada kelajuan enjin rpm, cuma bagi kereta yang dipasang dengan kotak gear automatik ia akan berubah-ubah sedikit pada gear rendah berbanding gear tinggi kerana penyambung antara enjin dan kotak gear ialah melalui sistem hidraulik atau “torque converter” dan bukan sambungan terus seperti kotak gear biasa.  

 

TIP PENJAGAAN TAYAR – Pastikan muatan tidak berlebihan

Semasa menukar tayar baru, pastikan tayar tersebut mempunyai ketahanan berat yang sama atau lebih dengan tayar yang asal. Lebihan muatan pada kenderaan boleh menyebabkan kegagalan fungsi tayar dan kerosakan pada mekanikal suspensi. Ia juga boleh menyebabkan kenderaan hilang kawalan dan meningkatkan penggunaan petrol.