1. Saga SE ada bunyi ketika membelok
Kereta saya baru dibeli pada akhir tahun 2009. Saga SE 1.3. Akhir-akhir ini saya sedar ada bunyi seperti berdecit kuat seakan bunyi menekan brek kedengaran pada bahagian tayar hadapan. Ia amat jelas ketika membelok perlahan-lahan. Selalu kedengaran ketika hendak meletak kenderaan. Ada yang cakap bunyi brek. Tapi ia berbunyi waktu saya belokkan stereng tanpa menekan brek. Saya dah buat imbangan dan penjajaran roda. Lepas tu hilang sekejap untuk beberapa hari, kemudian berbunyi semula. Apa masalahnya? 0127541714
Jawapan: Bunyi semasa membelok atau memusing stereng mungkin datang daripada satu daripada sambungan antara stereng dan roda hadapan. Dapatkan mekanik memeriksa sambungan dari batang stereng, ‘steering rack’, ‘control arm’ dan ‘steering knuckle’ .
2. Waktu untuk talaan semula
Bilakah sesebuah enjin kereta itu perlu ditala semula? 0199467216
Jawapan: Reka bentuk enjin moden serta penggunaan sistem elektronik ‘Engine Management System’ (EMS) membuatkan enjin tidak perlu kerap ditala atau dibuat ‘tuning’ berbanding dengan enjin yang menggunakan karburator. Bagaimanapun lain jenama dan model maka lain juga jadual talaannya. Seeloknya rujuk pada buku panduan kereta tersebut atau pihak pengeluar kereta.
3. ‘Timing Belt’ Citra berbunyi
Kenapa tali sawat (timing belt) Naza Citra saya berbunyi semasa enjin dihidupkan? Ia baru sahaja ditukar. 0137153258.
Jawapan: ‘Timing belt’ ialah suatu bahagian enjin yang kritikal untuk menentukan prestasi enjin berjalan dengan lancar. Ia hendaklah diganti dengan alat ganti yang tulen sebaik tiba waktunya dan mengikut jadual yang disyorkan oleh pihak pengeluar. Semasa diganti pastikan alat penegang atau ‘tensioner pulley’ diganti sama kerana tempoh ketahanan kedua-dua alat ini hampir sama dan merupakan alat yang kritikal. Perhatian yang lebih perlu diberi kepadanya. Jika ‘tensioner pulley’ tidak diganti pada waktu sama dengan ‘timing belt’, ia boleh tersekat atau melekat seterusnya menyebabkan ‘timing belt’ putus. Sebelum ‘tensioner pulley’ menjadi tersekat, ia akan mengeluarkan bunyi. Pastikan bunyi tersebut bukan datang dari ‘tensioner pulley’.
TIP PENJAGAAN TAYAR
Penjajaran untuk prestasi optimum
Tayar yang dijaga dengan baik dapat memastikan prestasi yang optimum dan tempoh ketahanan yang lebih lama. Cara paling mudah adalah dengan memberi perhatian pada penjajaran dan imbangannya. Bawa kenderaan ke kedai tayar profesional sekiranya terdapat gegaran atau bunga tayar mula menunjukkan kehausan tidak sekata.




