Kod minyak enjin
1. Apakah makna kod bacaan pada minyak enjin, contohnya 10W-40, 5W-30 dan 15W-50. Antara ketiga-tiga kod tersebut yang manakah gred paling baik? 0195660648
Jawapan: 10W-40, 5W-30 dan 15W-50 adalah standard atau gred piawaian kelikatan minyak pelincir yang diguna pakai mengikut SAE (Society of Automobile Engineers) yang diiktiraf seluruh dunia. Angka pertama 10, 5 dan 15 menunjukkan kelikatan minyak pada suhu rendah dan abjad “W” ialah untuk “winter” atau musim sejuk dan angka terakhir 40, 30 dan 50 ialah kelikatan di suhu 100 darjah Celsius, iaitu suhu kepanasan enjin. Kesesuaian gred minyak bergantung pada keputusan ujian yang dibuat di makmal oleh pengeluar enjin dan keadaan suhu di mana enjin tersebut akan digunakan. Contohnya minyak 5W-30 sesuai di gunakan di negara yang agak sejuk dan minyak 0W-30 sesuai digunakan pada suhu di paras bawah beku.
Minyak pelincir untuk Savvy
Saya menggunakan Proton Savvy manual dengan catatan batuan lebih 17,000km dan purata batuan 5,000km setiap dua bulan. Apakah jenis minyak pelincir yang sesuai? Sintetik, semi-sintetik dan mineral? Berapakah jarak sesuai untuk penukaran minyak pelincir yang seterusnya? 013-3278568
Jawapan: Seelok- eloknya gunakan gred minyak pelincir yang disyorkan oleh pengeluar kenderaan anda iaitu Proton. Kebaikan minyak sintetik hanya dapat dimanfaatkan jika digunakan pada enjin yang baru atau jika telah digunakan sejak enjin masih baru lagi. Jika enjin yang sudah agak lama, eloklah gunakan minyak separuh-sintetik atau minyak galian atau ’mineral oil’ mengikut gred yang disyor oleh pihak pengeluar kenderaaan.
Air untuk tangki radiator
Bolehkah guna air biasa untuk ditambah ke tangki radiator walaupun pada mulanya pihak pusat servis gunakan coolant? 017-5731788.
Jawapan: “Coolant” digunakan dalam sistem penyejukan enjin untuk mengelakkan berlaku pengaratan dalam sistem berkenaan dan melindungi bahagian enjin yang dibuat dari aluminium. Jika “coolant” yang masih agak baru ditukar tiada masalah jika berlaku kekurangan ditambah dengan air biasa, kerana ’coolant’ juga adalah campuran air dan kimia “glycol”.
Gred minyak pelincir sama gred
Boleh cadangkan sama ada minyak enjin Castrol normal boleh tak dicampur dengan Castrol Professional gred yang sama? 0165561070
Jawapan: Minyak pelincir dirumus serta ditambah pelbagai tambahan atau ‘additives’, bergantung kepada formulasi dan ujian yang di jalankan di makmal penyelidikan. Oleh itu tidak digalakkan mencampurkan minyak pelincir dari jenis yang berlainan.
TIP PENJAGAAN TAYAR - Perhatikan lebar tayar
Jika anda ingin melakukan penukaran atau pusingan tayar daripada tayar hadapan kepada tayar belakang pastikan terlebih dahulu kedua-duanya mempunyai lebar yang sama kerana ada sesetengah kereta pacuan belakang datang dengan rim yang mempunyai lebar tayar hadapan dan tayar belakang yang berbeza.




