Minyak 2T motosikal untuk tangki petrol?

Bolehkah saya campurkan minyak 2T ke dalam tangki petrol? Adakah ia akan menjejaskan enjin motosikal saya? Berapakah sukatan terbaik minyak 2T ke dalam setiap liter petrol? 0123517712

Jawapan: Pada asalnya semua enjin 2-lejang atau ‘2-stroke’ menggunakan minyak petrol bercampur minyak pelincir 2T seperti enjin skuter buatan Vespa dan Lambretta era hujung tahun-tahun 60an. Selepas dari itu kebanyakan pengeluar enjin 2-lejang menggunakan suntikan minyak pelincir ke dalam enjin. Buat masa ini hanya mesin rumput sandang dan gergaji berantai yang masih menggunakan enjin 2-lejang untuk tujuan keringanan dan mudah alih. Pada dasarnya memang boleh dicampur minyak 2T ke dalam tangki dalam nisbah 16:1 hingga 50:1. Masalahnya jika terlebih minyak 2T, enjin akan mengeluarkan banyak asap dan palam pencucuh akan selalu basah dan juga kemungkinan enjin susah hendak dihidupkan. Jika kurang minyak 2T, ia boleh merosakkan enjin kerana kekurangan minyak pelincir. Oleh yang demikian, lebih elok sekiranya  terus menggunakan sistem yang sedia ada yang telah direka bentuk untuk kebaikan keseluruhan enjin dan mengurangkan pencemaran udara.

 

Lampu depan Wira

Lampu hadapan Wira saya bermasalah. Mula-mula sebelah kiri, selepas itu sebelah kanan pula. Walaupun ditukar mentol, keadaan yang sama tetap berulang. Kiri dahulu baru kanan. Mentol baru hanya bertahan sebulan sahaja. Berlaku hanya untuk lampu biasa sahaja, lampu tinggi tidak pula bermasalah. Apa puncanya? 0127054022

Jawawan: Jika mentol atau ’bulb’ untuk lampu hadapan yang berkuasa agak tinggi mudah terbakar, ia kemungkinan disebabkan oleh lebihan voltan (over voltage). Satu daripada sebabnya ialah sambungan litar antara ’relay switch’ dan mentol tidak kemas, yang menyebabkan rintangan (resistance). Dapatkan mekanik anda untuk memeriksa sambungan pada dawai litar terutama sambungan pada kaki mentol, bersihkan jika ada karat dan kemaskan sambungan itu sebaik mungkin. 

 

Campro 1.6 untuk Wira

Saya ada memiliki sebuah enjin Campro CPS 1.6 berasal dari model Gen2. Bolehkah enjin itu dimuatkan ke dalam Proton Wira 1.3 Aeroback manual? Adakah akan dapat kelulusan JPJ dan Puspakom? 0148376491

Jawapan: Pastikan kerja-kerja penukaran enjin dilakukan oleh mekanik yang mahir dan ketika membuat permohonan untuk kelulusan sediakan dokumen selengkapnya. Untuk kepastian lanjut hubungi Bahagian Teknikal JPJ di Putrajaya. 

TIP PENJAGAAN TAYAR - Saiz rim dan tayar harus sesuai

Setiap tayar yang dijual mempunyai spesifikasi penggunaan yang berseuaian mengikut lebar dan besar rim. Perhatikan cetakan pada tepi tayar dan pastikan ia mengikut cadangan pengeluar tersebut. Pastikan kerja-kerja penukaran dan memasang tayar pada rim dilakukan oleh perkerja mahir bagi mengelakkan kecederaan teruk disebabkan ia melibatkan tekanan angin yang tinggi.