JENAMA motosikal terkemuka Amerika Syarikat, Harley-Davidson penuh dengan sejarah. Bermula dari sebuah syarikat kecil pada awal tahun 1903, Harley-Davidson kini merupakan gergasi pengeluar motosikal global.

BH Auto dijemput oleh pengedar tempatan jenama berkenaan, Naza Prestige Bikes Sdn Bhd untuk menyusuri jalan raya di sekitar Milwaukee, Amerika Syarikat dan melihat sendiri hasil sejarah Harley-Davidson tidak lama dulu. Dikenali sebagai ‘HD-Camp: Back To The Beginning Tour’, sesi lawatan ini dianjurkan oleh Muzium Harley-Davidson atas permintaan Naza Prestige Bikes.

Kali pertama dianjurkan, lawatan selama lapan hari ini membawa BH Auto ke beberapa tempat menarik dengan menggunakan jentera Harley-Davidson sendiri. Hari pertama lebih seperti acara suai kenal antara peserta. Tiba dari Kuala Lumpur, kesemua peserta ditempatkan di Crowne Plaza Hotel di Los Angeles Harbor, tidak jauh dari Disneyland.

Hotel milik Kumpulan Naza ini sedikit istimewa kerana menyediakan masakan halal.

Keesokan harinya, para peserta diterbangkan ke Chicago untuk bertemu dengan Christina Kutsch, pengurus pembangunan program untuk Muzium Harley-Davidson.  Dari Chicago peserta tidur semalam dan kemudian berangkat ke Woodstock, Illinois.

Terletak 80km jauhnya dari Chicago, Woodstock ialah destinasi penting kerana peserta akan mengambil motosikal mereka di pusat jualan Harley-Davidson di situ. Satu perkara unik tentang Harley-Davidson ialah setiap butik atau pengedar jenama itu akan mempunyai kemeja-T yang tersendiri. Para peserta tidak melepaskan peluang untuk membeli barangan premium Harley-Davidson dari Woodstock.

Penulis diberikan kunci untuk sebuah Harley-Davidson Street Glide model 2011. Cukup ranggi dan bergaya. Beg sisi pula memudahkan penulis untuk menyimpan kamera dan jaket.

Sebanyak 11 buah motosikal Harley-Davidson dari pelbagai model digunakan dalam lawatan ini.

Dengan bantuan penunjuk arah Paul G. Nuccio, pengurus kawasan perkhidmatan penunggang untuk Harley-Davidson, kumpulan kami bergerak secara konvoi ke hotel Hilton di tengah bandar Milwaukee.

Perjalanan hampir 200km itu dilakukan dalam keadaan santai kerana masing masing mahu melihat pemandangan sekililing. Penuh dengan ladang-ladang gandum dan kawasan rekreasi untuk golf, perasaan menunggang di kawasan tersebut sememangnya tiada tandingan. Inilah kawasan asal di mana motosikal Harley-Davidson dilahirkan, dan rakyat Amerika Syarikat cukup berbangga dengan jenama tersebut.

Keesokkan harinya kami dibawa menunggang ke sekitar Milwaukee untuk melawat destinasi-destinasi nostalgik bandar itu. Cuaca boleh dikatakan dingin tetapi semua peserta, termasuk penunggang wanita cukup mahir untuk mengendalikan motosikal masing-masing.  Keempukan pelananya serta keselesaan posisi menunggang jelas menjadi faktor penting untuk jentera Street Glide yang ditunggang penulis kerana selepas beratus-ratus kilometer perjalanan, badan masih terasa segar dan hati masih bersemangat untuk terus menunggang.

Hari seterusnya, peserta dibawa untuk mengunjungi kilang membuat enjin Harley-Davidson di Pilgrim Road, Menomonee Falls, 40 minit dari hotel. Para peserta dibawa melawat ke kilang tersebut untuk melihat sendiri bagaimana enjin sejukan udara V-kembar itu dipasang. Sekali lagi, butik pakaian di kilang tersebut diserbu oleh para peserta kerana peluang untuk melawat kilang berkenaan jarang-jarang diperoleh.

Selepas kilang, kumpulan penunggang dari Malaysia ini berangkat pula ke muzium Harley-Davidson di mana Bill Davidson, generasi ketiga keluarga Davidson (seorang daripada pengasas syarikat) siap menunggu konvoi kami. Muzium Harley-Davidson sememangnya penuh dengan memorabilia bersejarah untuk jenama tersebut. Anda perlu sekurang-kurangnya setengah hari atau lebih untuk melihat kesemua artifak yang dipamerkan.

Kumpulan dari Malaysia diberi layanan istimewa dan dibawa melihat ke tempat penyimpanan motosikal Harley-Davidson.  Setiap model motosikal Harley-Davidson yang dikeluarkan akan mempunyai salinannya di muzium, dan antara yang menarik ialah unit prototaip untuk model V-Rod, model Harley-Davidson yang digunakan oleh watak Kato di dalam filem Green Hornet baru-baru ini.

Sebelum pulang ke hotel, kumpulan Malaysia dibawa ke House of Harley, butik Harley-Davidson yang terbesar di Milwaukee. Sekali lagi kami dikejutkan dengan kunjungan oleh Matt Levatich, presiden dan ketua pegawai operasi untuk Harley-Davidson. Matt kelihatan gembira melihat Datuk SM Zulkifli SM Amin, naib presiden eksekutif untuk Naza Prestige Bikes beserta para peserta konvoi.

Kelakar juga ketika melihat pemilik butik House of Harley itu sendiri terkejut dengan kehadiran Matt. “Ini adalah kali pertama Matt datang ke butik kami,” ujar beliau dengan gembira. Hasilnya, kami diberikan diskaun istimewa untuk barangan yang dibeli! Esoknya peserta menunggang kembali ke Woodstock untuk memulangkan motosikal masing-masing. Terasa berat hari untuk melepaskan Street Glide kerana sudah terlalu selesa dengannya.

Penulis juga diberitahu ada peserta yang terus memesan model yang sama ditunggang dalam ekpsedisi ini kerana terpesona dengan prestasinya. Saki-baki perjalanan dihabiskan dengan melawat butik-butik Harley-Davidson di Los Angeles dan Chicago. Antara yang menarik ialah butik Harley-Davidson di Hollywood dan kedai pameran Harley-Davidson Bartel’s, yang terbesar di pantai barat Amerika Syarikat.

Ekspedisi bermotor dengan Harley-Davidson mungkin tidak selasak aktiviti bermotosikal yang lain. Ia lebih ke arah santai dan bersahaja. Mungkin kerana itulah motosikal Harley-Davidson ini boleh dinikmati oleh setiap peringkat umur dan mampu bertahan sebegitu lama.

 

2. Info lawatan

Walaupun ia pertama kali dianjurkan oleh Naza Prestige Bikes, perjalanan cukup lancar. Setiap peserta dikenakan bayaran sebanyak US$4,000 (tidak termasuk tiket tambang kapal terbang).

Untuk motosikal, harga sewa sudah termasuk di dalam pakej tetapi pihak Harley-Davidson Woodstock akan meminta kad kredit untuk dicajkan sebagai deposit. Pastikan kad kredit anda mampu digunakan sebanyak US$2,000 untuk sebuah motosikal.

Pakaian menunggang harus sesuai dengan cuaca. Disarankan baju hujan dan jaket tebal dibawa, persiapan sekiranya cuaca tiba-tiba menjadi sejuk. Beg pakaian peserta dibawa oleh bas yang mengiringi konvoi.

 

3. Street Glide lengkap gaya, kuasa

RUPA-rupanya model Harley-Davidson Street Glide FLHX 2011 yang ditunggang oleh penulis ialah antara model paling popular di Malaysia buat masa ini. Mungkin kerana bentuknya yang istimewa serta beg sisi yang datang sebagai alatan lengkap menjadikan ia praktikal untuk perjalanan jauh.

Saiz beg sisi yang kecil pula menjadikannya turut sesuai untuk perjalanan di dalam bandar untuk bersantai. Enjin Twin Cam 103 dipadankan dengan transmisi enam kelajuan untuk perjalanan yang amat lancar. Suspensi udara untuk roda belakang empuk tetapi tidak begitu membuai ketika mengambil selekoh. Street Glide juga lengkap dengan papan pemuka yang lengkap dan sistem audio harmon-kardon yang mantap.

Ciri istimewa Street Glide ialah kestabilan ketika penunggangan perlahan. Di dalam bandar, ini amat dihargai kerana penunggang tidak merasa kekok untuk menunggang di celah-celah kenderaan lain.

Di lebuhraya dalam kelajuan tinggi, berat badannya menjanjikan sensasi yang amat stabil. Tayar Dunlop selebar 180mm di belakang mungkin mencengkam tetapi alas kaki (floorboards) tidak membenarkan penulis untuk turun lebih rendah di dalam selekoh. Samada untuk bergaya, bersantai atau berkelana, Street Glide dari Harley-Davidson ini memang lebih dari satu ikon fesyen sahaja.

 

Spesifikasi Harley-Davidson Street Glide FLHX 2011

Enjin: Sejukan udara Twin Ca, 1,584cc sistem suntikan bahanapi

Kuasa maksimum: -

Tork maksimum: 126Nm @ 3,500rpm

Transmisi: 6-kelajuan

Brek: Brembo 4-piston depan/belakang

Ciri khas: Sistem kawalan cruise, sistem ABS, penghidup tanpa kunci

Harga: RM170,000 tidak termasuk cukai jalan dan insurans.