Hanya dua bulan selepas penampilan dunianya yang pertama, BMW Group Malaysia Sdn Bhd kini memperkenalkan model kelima jenama MINI iaitu MINI Coupe. Pelancarannya disempurnakan dalam satu majlis di pusat 4S (servis, jualan, sistem dan alat ganti) MINI yang baru dibuka di Glenmarie, Shah Alam.

Pusat 4S ini adalah yang ketiga seumpamanya di Malaysia. Khas untuk dua orang sahaja, MINI Coupe digerakkan oleh enjin turbo 1.6 liter berkuasa 181hp yang dipadankan dengan kotak gear automatik enam kelajuan.

Tanpa tempat duduk belakang, pengguna dapat menikmati ruang simpanan sebesar 290 liter sementara di atasnya terdapat penghadang angin aktif yang akan naik apabila kelajuan mencecah 80km/j dan turun kembali pada kelajuan 60km/j ke bawah.

Dijual pada harga RM249,888 tanpa insuran, MINI Coupe disasarkan pada pembeli yang mencari sesuatu yang menarik dan ranggi. Dengan tambahan RM14,988, pembeli dapat memilih pakej MINI Connected yang lengkap dengan sambungan sistem hiburan, penerima RSS, radio web dan sistem audio 10 pembesar suara Harman Kardon. – BH Auto, 24 Oktober 2011.