Diversion Launch PD 2011-84

Diversion taruhan baru Yamaha

Pengilang motosikal Yamaha di Malaysia, Hong Leong Yamaha Motor Sdn Bhd baru-baru ini memperkenalkan motosikal berkuasa tinggi jenama itu yang terkini, Yamaha XJ-6 Diversion. Motosikal empat lejang bersesaran 600cc berkenaan dilancarkan pada 15 Jun lalu di Port Dickson, Negeri Sembilan.

Pengarah Urusan Hong Leong Yamaha Motor, C.H. Ng berkata motosikal itu disasarkan bagi menawarkan pengalaman menunggang yang tersendiri dan mementingkan gaya hidup pelbagai, sama ada untuk tunggangan di bandar mahupun di desa. Motosikal ini dipasang di Sungai Buloh Selangor. Kilang ini merupakan kilang kedua di luar Jepun yang memesang model XJ-6 ini selepas Brazil.

Turut hadir di majlis pelancarannya ialah ketua projek XJ-6 ini sendiri, Shin Yokomizo yang turut memberikan taklimat teknikal motosikal terbabit. Ia berasaskan konsep sebuah motosikal yang mudah untuk ditunggang dengan kendalian yang menyeronokkan dalam apa juga keadaan.

Tunggang uji ringkas turut dijalankan di Port Dickson, melibatkan laluan sejauh kira-kira 70km sepanjang laluan pelbagai keadaan termasuklah laluan bandar, lebuh raya, jalan persekutuan dan juga negeri juga sedikit sebanyak memberikan gambaran awal kemampuan motosikal ini.

 Sejajar dengan konfigurasi enjin empat silinder sebarisnya, XJ-6 Diversion ini mampu melahu lembut dan meningkatkan pusingan enjin rpmnya dengan lancar dan mudah sehinga garis merah pada 11,000rpm. Penghidupan enjin secara elektrik adalah mudah, dan ketinggian pelananya juga selesa untuk capaian kaki yang meyakinkan.

 Malah, saiznya agak kecil bagi sebuah motosikal 600cc. Ini juga menjadikannya sebuah motosikal ideal bagi mereka yang berbadan kecil, mahupun bagi penunggang wanita, yang semakin hari semakin bertambah bilangannya kebelakangan ini.

Ringan untuk dikendalikan melalui barisan kon slalom dan juga pusingan angka-lapan, kebolehan pelarasan penyerap-hentak belakang mampu memberikan penyesuaian yang diinginkan individu berbeza. Dwi-cakera hadapan yang diapit angkup Akebono diimbangkan dengan angkup Nisin di belakang bagi membekalkan kuasa hentian yang agak meyakinkan.

Daya pecutan tampak menyakinkan dan penukaran gear juga selaras dengan kehendak jalanan, walaupun jika dilakukan penukaran secara tanpa klac (clutchless). Ekzosnya juga agak tersorok di bawah motosikal, namun akan menyalurkan gas panas ke tumit kanan anda jika anda menanti di persimpangan dengan kaki berpijak pada tanah.

Namun begitu, lazimnya sewaktu ini penunggang perlulah bersiap-siaga dengan kaki menekan brek belakang di setiap hentian. Kedudukan suis didapati mudah dicapai dan digunakan, dan paparan meter digitalnya juga mudah dibaca walaupun dalam cuaca panas dan terang. Ciri-ciri lain motosikal ini hanya lebih adil dinilai setelah kami selesai menilai unit tunggang uji yang sedang dijalankan.

Selaras dengan konsepnya, Hong Leong Yamaha telah memilih slogan ’Di mana jua, bila-bila masa’ sebagai strategi pemasarannya yang mensasarkan jualan sebanyak 600 unit bagi tahun pertama pengenalannya. Yamaha XJ-6 Diversion ini ditawarkan pada harga asas RM39,000.00. – Salihin Rahim, 1 Julai 2011.

Spesifikasi

Yamaha XJ-6 Diversion

 Enjin: 600cc, 4-silinder, 4-lejang, DOHC 4-injap dengan sejukan cecair.

Liang x lejang: 65.5mm X 44.5mm
Kuasa maksimum: 78hp@10,000rpm
Dayakilas maksimum: 59.7Nm@8,500rpm
Gear: 6-kelajuan
Berat: 211kg (dengan minyak penuh)