Dewan Tun Razak 2, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) Kuala Lumpur akan bergema dengan deruman enjin motosikal berkuasa tinggi daripada pengeluar motosikal terkemuka seperti Suzuki, Kawasaki, Honda, Yamaha, Modenas, SYM, Can-Am dan KTM sempena dengan Pameran MotoXpo yang bermula dari 23 sehingga 26 Februari ini.
Perasmian pameran dan persidangan MotoXpo Kuala Lumpur (MotoXpo KL 2012) adalah anjuran kali pertama oleh Persatuan Pengilang dan Pengedar Motorsikal dan Skuter Malaysia (MASAAM) yang disempurnakan oleh Presidennya, Datuk Syed Aidid Syed Murtaza serta Yang Terutama Yang Di Pertua Negeri Pulau Pinang Tun Datuk Seri Haji Abdul Rahman bin Haji Abbas.
Menampilkan pelbagai pilihan dan model unik termasuk motosikal konsep yang dipamerkan oleh Yamaha yang terdiri dari tiga model seperti Y125 MOEGI, EC-Miu serta PAS WITH yang merupakan sebuah basikal konsep menarik yang dibawa terus dari Jepun.
Dalam masa sama, Motonation Manufacturer Sdn Bhd (MMSB) selaku pengedar rasmi jenama KTM turut membuat perasmian motosikal KTM 690 DUKE dan 200 DUKE yang dipasang di Kedah dan bakal menjadi tonggak utama pemasaran untuk produk KTM untuk pasaran tempatan.
Boon Siew Honda Sdn Bhd pada majlis perasmian ekspo ini turut melancarkan dua buah motosikal berprestasi tinggi terbaru, Honda CBR1000RR dan Honda 2012 Gold Wing yang menjanjikan prestasi yang dipertingkatkan, lebih selesa dan sistem keselamatan yang lebih canggih. Model-model ini bakal menjadi bintang utama tapak pameran Honda di MotoXpo sehingga Ahad nanti.
Selain itu, pelbagai gerai pameran dari pelbagai produk aksesori, helmet, pakaian serta rangkaian kedai motosikal turut mempamerkan produk masing-masing. Pertunjukkan lagak ngeri oleh Rok Bagoros dari pasukan khas KTM turut membuat pertunjukkan sepanjang acara berlangsung. Tarikan utama merupakan hadiah utama utama cabutan bertuah yang berupa motosikal jenis Can-Am Spyder yang bernilai RM105,000 bakal menjadi rebutan para pengunjung. - Umzarul Faiz, 22 Februari 2012.







