Jun lalu Perodua melancarkan Myvi berpenampilan baru setelah beberapa tahun ia berada di pasaran. Semasa dilancarkan, hanya versi dengan enjin 1.3 diperkenalkan, sekaligus menimbulkan tanda tanya bila Myvi yang lebih berkuasa akan dilancarkan.

Semalam teka-teki itu sudah terjawab. Bukan sekadar dipertingkat dengan enjin 1.5cc sahaja, kenderaan yang sering menduduki tangga teratas jualan bulanan kenderaan tempatan tersebut turut mendapat sentuhan di segenap bahagian. Dua versi diperkenalkan kepada umum iaitu SE dan Extreme, masing-masing dengan pilihan transmisi automatik atau manual.

Kedua-dua varian ini kini dilengkapi rekaan bampar dan gril baru, papan pemuka serba hitam, penghadang angin di belakang, ‘diffuser’, muncung ekzos krom, lampu meter berwarna merah, tempat duduk separa ‘bucket’, kawalan audio di stereng dan roda stereng balutan kulit.

Dari segi keselamatan, Myvi yang buat masa sekarang hanya boleh didapati di Malaysia sahaja ini dilengkapi ABS berserta ciri Pengagihan Kuasa Brek Elektronik (EBD) dan Brake Assist (BA).

Pada permulaan sesi uji pandu, penulis duduk di bahagian penumpang belakang terlebih dahulu. Sama dengan Myvi sebelum ini, keluasan yang dirasa masih sama dan menyenangkan.

Sebaik duduk di kerusi pemandu dan memulakan perjalanan di lebuh raya, penulis terus menekan pedal minyak Myvi 1.5 yang dikatakan mampu mencatat masa 9.98 saat dari kedudukan pegun ke 100km/j ini.

Tarikannya memang terasa dan pemasukan gear juga lancar (SE Automatik). Pada kelajuan tinggi di selekoh, stereng kenderaan kompak ini memberi tindak balas cukup baik memandangkan sistem elektronik (EPS) yang digunakan secara automatik menjadi sedikit berat. Jika baru hendak memulakan perjalanan atau pada kelajuan rendah, sterengnya lebih mudah diputar dan ringan.

Suspensi juga meyakinkan. Jika terlebih laju, ‘understeer’ sememangnya berlaku tetapi bahagian belakang tidak terlalu terkeluar apabila pedal minyak dilepaskan untuk mendapatkan kembali cengkaman. Paling menarik adalah varian Extreme dengan gaya badan agresif. Jika di dalam radio, iklannya menyatakan Myvi ini boleh terbang ke bulan sebagai gurauan. Varian SE datang dalam pilihanlimawarna iaitu Kuning Majestic Solid, Putih Ivory Solid, Ungu Metalik Mystical, Hitam Ebony Metalik dan Perak Glittering Metalik.

Varian Extreme pula datang dalam tiga pilihan warna iaitu Kuning Majestic Solid, Putih Ivory Solid dan Hitam Ebony Metalik. Kedua-duanya dijual pada lingkungan harga bermula RM50,900 hingga RM61,700 bergantung kepada spesifikasi bersama jaminan tiga tahun atau 100,000 kilometer batuan. – Durrani Sharom, 16 September 2011.

 

Spesifikasi MYVI 1.5 (SE dan EXTREME)

 

Enjin: 3SZ-VE DOHC, 1,495cc, 16 injap, DVVT, EFI

Transmisi: Manual lima kelajuan atau automatik empat kelajuan

Kuasa Maksimum: 101hp @ 6,000rpm

Tork Maksimum: 136Nm @ 4,400rpm

Harga: RM50,900 hingga RM61,700