Surat Editor

Noktah akhir

May 27, 2016 · 01:21 AM

Terima kasih untuk sebuah perjalanan yang mematangkan

 

Pembaca yang budiman,

BH Auto versi cetak yang anda tatap hari ini (Jumaat, 27 Mei 2016) merupakan terbitan terakhir daripada pasukan editorial asal yang sama mengerjakan dan membangunkannya sejak 9 tahun yang lalu, di bawah kendalian Aideah Communication Sdn Bhd kepada pihak Berita Harian selaku penyedia bahan dan kandungan automotif yang berwibawa.

Sejak isu pertama diterbitkan sekitar Julai 2007, BH Auto menjadi sisipan khusus yang berdedikasi untuk memberikan tumpuan terhadap perkembangan dunia automotif tempatan dan antarabangsa dengan tekun dan cermat. Matlamatnya sejak awal lagi sangat jelas dan mudah; untuk memberikan maklumat berkaitan automotif yang tepat dalam bentuk yang padat dan berkualiti, serta mengangkat Bahasa Malaysia ke tempat yang wajar melalui penyampaian berhemah kepada pembacanya.

Bermula dari sifar, jenama BH Auto belajar merangkak, kemudian berdiri dan kini mampu berjalan dan berlari dengan begitu yakin. Daripada sebuah entiti kecil yang tidak dikenali, tidak keterlaluan jika disifatkan bahawa BH Auto kini sudah mampu berdiri dengan gah di dalam gelanggangnya dengan nilai unik yang tersendiri.

Tentulah, kami tidak berupaya melakukannya bersendirian. Walaupun pasukan editorial BH Auto tidak pernah melebihi tiga orang kekuatan dalam satu-satu masa, terdapat ramai lagi individu yang membantu di belakang tabir dan pernah terlibat secara langsung mahupun tidak langsung di dalam operasinya. Anda tahu siapa anda, dan di dalam kesempatan singkat yang ada ini, maafkan kami kerana tidak dapat untuk senaraikan semuanya.

Begitu juga teman-teman dari syarikat-syarikat pengeluar kenderaan yang banyak memberikan kepercayaan, dan secara tidak langsung membantu proses mematangkan penerbitan ini.

Bagaimanapun, kepada pembaca, tak usah gundah. BH Auto tetap akan menemui anda seperti biasa lagi nanti. Ia akan dikendalikan oleh pasukan baru dari Berita Harian sendiri dan harapan kami, kalian pembaca akan tetap memberikan sokongan yang padu juga selepas ini.

Dengan ini, kami ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada semua pihak di atas sebuah perjalanan dan pengalaman yang tak ternilai yang sempat kami ceduk sepanjang tempoh menjayakan sisipan yang begitu dekat di hati kami ini.

Setakat ini dahulu, sampai berjumpa lagi.

 

Salam hormat dari kami;

Hazril Hafiz
Durrani Sharom
Nur Asyikin Md Isa

Bhauto team

Artikel berkaitan

One response to “Noktah akhir”

  1. norty says:

    Sad but true ….. thanks for your support and trust in me all these years bro. Hope we will meet up again personally or in the media field bro.
    TQ
    NoRtY

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This blog is kept spam free by WP-SpamFree.