Adakah anda masih tidak berpuas hati dengan suspensi kenderaan setelah mencuba pelbagai produk? Apa kata pergi ke Road Damper Motorsport? Menurut pengasasnya, How Weng Yau, penyerap hentak asal biasanya mempunyai rekaan tiub berkembar. “Sebaliknya TAG menggunakan rekaan tiub mono terbalik bertekanan tinggi yang mempunyai kelebihan dalam pelbagai aspek,” kata beliau.

How memulakan perniagaan dalam bidang automotif sejak tahun 1970 di mana beliau mempunyai beberapa bengkel namun terpaksa ditutup berikutan kemelesetan ekonomi pada tahun 80-an.

“Pada masa itulah saya menimba pengalaman bagaimana penyerap hentak berfungsi dan bagaimana ia memberi kesan pada kawalan kenderaan,” tambah How.

Selepas itu How menjalankan tugas sebagai pengedar alat ganti, bergerak menggunakan van untuk menghantar barang dari kedai ke kedai sehingga akhirnya membuat keputusan untuk memulakan perniagaan tetap pada tahun 1998.

“Saya dan adik saya mengambil masa dua tahun untuk mendapatkan barangan serta aturan yang betul. Paling susah adalah pengunci kedap (seal), kerana ia kerap bocor. Kami sudah mencuba hampir semua jenis dan menghabiskan lebih daripada RM20,000 untuk tujuan itu sahaja,” kata beliau.

How akhirnya berjumpa dengan penyelesaian masalah ini semasa membuka penyerap hentak motosikal.

“Pada masa itu juga kami sedang bersiap untuk perlumbaan rali. Jadi kami mencuba aturan penyerap hentak ini dengan masuk ke dalam setiap lubang di atas jalan raya dan akhirnya mendapati pengunci kedap (seal) ini tidak pecah, tapi rim rosak teruk,” kata How.

Tambah beliau lagi, tiub mono TAG menggunakan diameter yang lebih besar memandangkan tiub di dalamnya yang melungsur di sisi dua ‘washer’ teflon adalah lebih kuat dan dan stabil dalam menahan tekanan sisi. Disebabkan beliau sendiri begitu yakin, jaminan selama dua tahun diberikan ke atas penyerap hentak TAG.

“Untuk memastikan kualitinya terjamin dan pengurusan kos yang lebih cekap, semua alat ganti dihasilkan sendiri menggunakan mesin termasuk injap,” kata How. Setiap unit yang dihasilkan bermula dengan proses menguji tahap tekanan spring asal di atas mesin khas dan jumlah tersebut digabung dengan berat keseluruhan serta data ujian sebelumnya. Hasilnya, tekanan gas serta injap yang sesuai dapat diperolehi.

How juga memberitahu bahawa spring asal masih boleh digunakan pada penyerap hentak TAG dengan membuat pemegang yang sesuai (adapter).

“Pemanduannya disifatkan sebagai tegap tetapi selesa dengan peningkatan pada kawalan. Ia boleh dilaras sepenuhnya dan boleh diservis. Kami sudah melakukannya pada Audi A4, Volkswagen Golf, Toyota Harrier, Persona, Vios, Myvi serta bermacam kereta lagi,” kata How.

Untuk maklumat lanjur, sila hubungi How di talian 019-3360421- BH Auto, 23 Mac 2012.