Generasi ke-8 Accord sambung tradisi

Tidak lama dahulu, pasaran Malaysia diperkenalkan dengan versi Honda Accord baru yang dipertingkat daripada aspek penampilan berbanding versi sebelumnya. Accord mempunyai sejarah yang panjang bermula dari tahun 1976. Kereta ini sememangnya terkenal dengan keluasan dan keselesaaan bagi membawa keluarga mahupun individu dengan pelbagai anugerah telah dimenangi.

Accord terbaru yang anda boleh lihat di atas jalan raya kini adalah generasi yang ke-8. Begitu juga dengan unit pandu uji kali ini dan lebih menarik, ia dilengkapi kit badan Modulo.

Pada mulanya, versi yang dipertingkat ini nampak tidak jauh beza dengan model generasi ke lapan sebelmunya. Setelah dibandingkan bersebelahan baru kelainannya terserlah.

 Selain rekaan bampar hadapan dan gril krom baru, sentuhan turut diberi pada bahagian lampu belakang dan rim aloi 17 inci sekaligus memberi pernyataan bahawa Accord tidak akan mengalah dalam saingan kenderaan segmennya.

 Jika dibandingkan dengan pesaingnya, Honda mungkin mempunyai cara tersendiri dalam membangunkan sistem suspensi kenderaan ini di mana bahagian hadapannya menggunakan sistem ‘Double Wishbone’. Apa yang boleh dikatakan, penulis tidak menghadapi masalah menghadapi selekoh sepanjang laluan dari Gombak ke Kuantan menaiki kereta ini termasuk membrek semasa membelok.

 Walaupun tidak seperti kereta berprestasi, ia cukup selesa dan mudah dikawal, membuatkan penumpang yang lain boleh terlelap sepanjang perjalanan selama dua jam. Sterengnya pula tidak terlalu ringan dan masih lagi responsif.

 Ada yang berpendapat enjin 2.0 liter SOHC i-VTEC berkuasa 153hp yang digunakan pada kereta ini tidak cukup berkuasa bagi menggerakkan kenderaan sebesar Accord. Tetapi bagi penulis ia mencukupi bagi pemanduan biasa tanpa masalah semasa memotong atau menaiki bukit.

 Di dalam, ia luas dan selesa. Bagi pemandu, segala kawalan mudah dicapai dengan beberapa butang penting diletakkan di stereng. Yang lain berada di papan pemuka dengan kebanyakannya di bahagian tengah, membuatkan ia kelihatan sedikit padat.

 Tidak kira sama ada digunakan sebagai kenderaan keluarga mahupun untuk tampil bergaya, Accord mampu memenuhi keperluan tersebut tanpa mengenepikan aspek keselamatan melihat kepada ciri terkini yang dilengkapkan padanya seperti Vehicle Stability Control (VSA), beg udara SRS, ABS, EBD dan Shift Hold Control. – Durrani Sharom, 24 Jun 2011.

Spesifikasi:

Honda Accord 2.0 Vti-L

Enjin: Empat silinder, 16 injap, SOHC, i-VTEC

Kuasa Maksimum: 153hp@6,300rpm

Tork Maksimum: 189Nm@4,300rpm

Transmisi: Automatik lima kelajuan dengan Shift Hold Control

Ciri keselamatan: Beg udara i-SRS berkembar di hadapan, ABS, EBD, G-CON

Harga: RM149,800 (dengan insuran).

Komen BH Auto: Luas, selesa, mudah dikawal dan kuasa mencukupi.