Kereta salon luas untuk keselesaan

Berada di dalam sebuah kereta salon atau sedan eksekutif dan mewah sentiasa menerbitkan perasaan yang berbeza. Seawal duduk ditempat duduknya – tidak kira dibahagian depan atau belakang – perkara paling awal yang dirasakan ialah ambiens ruang dalamannya yang cukup selesa. Dengan ruang yang luas, tata hias yang biasanya ringkas, pemilihan wara cerah untuk imej bersih; semuanya memainkan peranan penting sebagai membangunkan imej ideal bagi model seperti ini. Untuk menghidupkannya, hanya satu butang yang perlu di tekan.

Nissan Teana 250 XV adalah antara model yang tergolong di dalam kelompok ini. Ia lebih besar berbanding sedan kompak yang banyak membanjiri jalan raya. Fizikal luarannya saja cukup untuk menjelaskan perkara ini. Bahagian hud depannya, tempat duduk-letakknya enjin panjang. Begitu juga dengan keseluruhannya. Antara lain ini disumbangkan oleh enjin V6 2.5 liter yang menjadi nadi penggerak kepada setiap aspek atau ciri kemewahan yang ada untuk dinikmati pemandu sekaligus penumpang.

Keadaan sama ada memberi impak besar atau kecil, pasti akan mempengaruhi cara anda mengendalikannya. Memandunya tidak lagi sama seperti memandu jenis kereta lain yang lebih kompak dan kecil. Dengan saiz itu, dan kuasa yang memadai yang ada padanya, dia akan ’memaksa’ pemandu untuk menikmatinya cara tersendiri; memandu secara tenang dan rasakan aliran kuasa dan tork yang tersimpan untuk menggerakkannya.

Bukan itu saja, memandu Teana 2.5 liter ini juga memerlukan pemandunya lebih berhati-hati. Saiznya yang besar, lebar dan panjang memerlukan ruang cukup, misalnya ketika ingin meletak kenderaan. Begitu juga ketika ingin memotong atau mengalih hala pemanduan. Semuanya perlu lebih perhatian. Seterusnya, selepas anda membiasakan diri dengan keadaan fizikalnya, pemanduan akan lebih menyeronokkan.

Memandu di Lebuhraya MEX KL-Putrajaya, Teana tidak mengecewakan. Saiznya yang besar dan lebar membantu untuk memberikan kestabilan yang diperlukan, terutama ketika untuk meningkatkan kelajuan. Janaan kuasanya juga mampu membolehkan pemandu mendapatkan momentum yang diperlukan. Sesuai dengan cirinya, Teana lebih dinikmati ketika pemanduan ala ’cruising’ di jalan lurus dan untuk perjalanan jauh.

Kawalan stereng baik. Sesuai dengangayapemanduan sedemikian. Sekali-sekala jika ingin memecut laju, anda akan dapat merasakan daya tujahan yang sekata disalurkan dan sekaligus memudahkan pengendalian seterusnya.

Bagi penumpang dibelakang, pasti sukar untuk sesiap saja menyanggah bahawa keselesaan berada pada tahap optimum. Tambahan pula, sistem suspensi jenis ’multi-link independent’ yang digunakan di bahagian belakang banyak membantu untuk memberikan pengalaman berkenaan.

Bergantung kepada keperluan atau keinginan, Teana mempunyai kelebihan yang banyak untuk ditawarkan. Sesuai untuk memberikan imej eksekutif yang bagi sesetengah orang amat penting sebagai sebuah pernyataan status dangayahidup. - Hazril Hafiz, 3 Jun 2011.

 

Spesifikasi Teana 250 VX

Enjin: V6, 2.5 liter, DOHC 24-injap dengan CVTC

Kuasa maksimum: 180hp @ 6,000rpm

Tork maksimum: 228Nm @ 4,400rpm

Transmisi: Xtronic CVT

Ciri-ciri keselamatan: Sistem beg udara SRS, Vehicle Dynamic Control, ABS + Brake Assist.

Harga: RM174,900.65 (dengan insurans)

Komen BH Auto: Menjanjikan pemanduan dan perjalanan selesa.