Naza pamerkan Ducati terbaru di COTY2U

HUJUNG minggu ini, peminat fanatik motosikal jenama Ducati pasti tidak akan melepaskan peluang untuk melihat sendiri model terbaru Monster 795 yang dilancarkan secara global beberapa hari sebelum perlumbaan MotoGP di Sepang bulan lalu.

Monster 795 yang direka khusus untuk pasaran Asia hanya dijual di beberapa negara Asia iaitu Malaysia, Thailand, China, India, Hong Kong, Indonesia, Filipina, Vietnam dan Singapura.

Hasil usaha pengedar Ducati tempatan, Naza Next Bike, harga Monster 795 nyata lebih mampu, iaitu pada RM59,900. Ia dijana oleh enjin 803cc Kembar-L 2-injap per selinder Desmodromic sejukan udara dan menghasilkan 87hp dan 78Nm. Kotak gear ialah 6-kelajuan dan ia hanya mempunyai berat kering 167kg.

Naza juga akan mempamerkan motosikal cruiser jenama premium seperti Indian Motorcycle, Harley Davidson serta jenama Itali seperti Vespa, Piaggio dan Aprilia.

Tidak cukup dengan model-model motosikal, Naza juga akan mempameran pakaian, kelengkapan dan aksesori menunggang dari jenama seperti Berik dan Arlen Ness untuk dua hari sepanjang COTY2U berlangsung.

Kepada yang ingin membeli motosikal yang di edarkan Naza, bahagian kredit Naza sendiri turut menawarkan khidmat pekej pembiayan pinjaman. Saksikan barisan motosikal hebat dari Kumpulan Naza di pameran auto NST-Maybank COTY2U 2011 di bangunan Matrade, 12-13 November ini.

Tawaran harga istimewa beberapa model edaran Naza Bikes:

Suzuki GSX 600 – RM61,640

Suzuki GSXR 750 – RM63,480

Suzuki GSXR 1000 – RM70,840

Honda CBR 1000 ABS – RM76,800

Yamaha R1 LE Fiat – RM85,440

* Setiap model di atas diberikan potongan harga sekitar 25 peratus daripada harga biasa.

 

 

 

3 model baru Kawasaki di pameran COTY2U

KAWASAKIMalaysia bakal melancarkan tiga model terbaru mereka di pameran NST-Maybank COTY2U Autoshow Sabtu ini (12 November) di bangunan Matrade,Kuala Lumpur.

Kawasaki bagaimana pun belum mendedahkan model-model terbaru terbabit. Syarikat itu hanya memaklumkan genre motosikal masing-masing bagi tiga model berkenaan, iaitu Super Sports, Sports dan Dual Purpose.

Menurut khabar angin yang diterima BH Auto, ketiga-tiga model itu kemungkinan besar ialah versi terbaru ZX14, W800 dan Versys 1000.

Bagi model Versys 1000, ia baru saja menerima pengenalan globalnya di Eropah Selasa lalu dan ini bermakna kemunculannya umumnya diMalaysia hujung minggu ini adalah yang pertama untuk rantauAsia.

Jangan lepaskan peluang untuk menyaksikan sendiri majlis pelancaran ketiga-tiga model terbaru Kawasaki ini pada jam 3.00 petang, 12 November 2011 (Sabtu) di Dewan C, Pameran Auto COTY2U di bangunan Matrade, Jalan Duta, Kuala Lumpur.

 

Produk FSR dan aksesori motosikal

FSR Tech akan mempamerkan dan menjual produk unit pengawal bahan api (FCU) ciptaan syarikat itu. Alat ini berfungsi sebagai pengubah bacaan pengesan tekanan manifold (MAP) dan menghantarnya ke ECU, memberitahu bahawa enjin memerlukan lebih atau kurang minyak pada rpm tertentu.

Kelebihannya, lebih penjimatan petrol dan paling penting, prestasi keseluruhan yang bertambah baik. Bagaimanapun, setakat ini, alat berkenaan hanya untuk kegunaan pemilik motosikal Yamaha FZ150i. Kepada yang berkunjung ke COTY2U hujung minggu ini, ada tawaran istimewa yang diberikan, termasuk perkhidmatan dyno motosikal.

Selain itu, banyak lagi produk-produk dan aksesori untuk motosikal yang menanti pengunjung di sana. - BH Auto, 10 November 2011.