Selepas pengenalannya di Eropah Mei tahun lalu, Polo GTi terbaru kini dilancarkan secara rasmi untuk pasaran Malaysia oleh Volkswagen Malaysia. Kini dengan ciri yang lebih lengkap dan terkini, kereta saiz kompak ini dilengkapi enjin 1.4 liter TSI yang memberikan bacaan penggunaan petrol yang rendah, iaitu pada kadar 5.9 liter untuk 100km perjalanan.

Turut melengkapkannya adalah kuasa yang mampu dijanakan oleh enjin kecil ini; 180PS kuasa dan 229kmj kelajuan maksimum yang dibantu oleh sistem transmisi DSG 7-kelajuan. Berbanding dengan model sama sebelumnya, Polo GTi terbaru mencatatkan janaan kuasa 30PS lebih tinggi manakala 24 peratus lebih penjimatan penggunaan bahan apinya.

Dengan penggunaan teknologi baru bagi model berkenaan, ia juga turut menerima teknologi ‘electronic transverse differential lock (XDS)’ yang memabantu mengurangkan kesan ’under-steer’ dan memperbaiki aspek kendaliannya, terutama ketika diselekoh. Selain itu, ia juga dilengkapi dengan ciri ESP dan ‘Hill Hold Control’.

Polo Gti baru ini di datangkan di dalam enam pilihan warna; Candy White, Flash Red dan Hitam (warna solid), Reflex Silver dan Shadow Blue (warna metalik) dan Deep Black.

Model ini ditawarkan pada harga RM132, 888 bagi model tiga pintu manakala untuk versi lima pintu pula pada RM135,888. Untuk kemudahan pelanggan, jaminan lima tahun tanpa had batuan serta pakej bantuan jalanan yang juga untuk lima tahun.

Hadir melancarkan model terbabit ialah Pengarah Urusan Volkswagen Group Malaysia, Ricky Tay sempena dengan perlumbaan Scirocco R Cup di litar Sepang baru-baru ini. Untuk maklumat lanjut, layari laman web www.volkswagen.com.my. - BH Auto, 26 Ogos 2011.