Berita / Motosikal / Tunggang Uji / Ulasan

Rentas radikal KTM Super Duke GT

Mar 16, 2016 · 17:32 PM

KTM Super Duke GT-20
Super Duke R yang digelar ‘si buas’ dijelmakan sebagai motosikal jelajah

Mengimbas kembali dua tahun yang lalu di Litar Antarabangsa Sepang, ia adalah hari bagi penulis untuk menguji sebuah motosikal yang paling berkuasa pernah ditunggang iaitu KTM Super Duke R. Dengan badan seperti seekor lembu jantan dan enjin dua silinder berkapasiti 1,301cc, melihatnya sahaja sudah mampu membuatkan anda gerun, walaupun hakikatnya, ia masih lagi mudah untuk dikawal.

Pada aspek kuasa, sudah tentu ia bukan satu isu bagi Super Duke R tetapi KTM melihat motosikal ini mempunyai lebih kemampuan dan bukan setakat sebuah jentera ‘naked’. Dan sekarang, lahirlah versi jelajah yang digelar KTM 1290 Super Duke GT.

Bagi orang biasa, ini kedengaran seperti sesuatu yang mudah dengan peningkatan mungkin dilakukan dengan meletakkan penhadang angin dan ‘fairing’ pada sebuah model sedia ada tetapi sebenarnya banyak lagi yang dilakukan oleh pengeluar dari Austria ini.

KTM Super Duke GT-3
Keselesaan jadi fokus

Kata kunci utama untuk menjayakan projek ini adalah keselesaan, tetapi pada masa sama masih mengekalkan semangat seperti Super Duke R. Seperti yang boleh jelas dilihat, Super Duke GT menggunakan lampu yang lebih besar dan menonjol ke hadapan bersama dengan penghadang angin bagi mengurangkan kesan rintangan terhadap penunggang.

Selain itu, kerangka ‘trellis’ belakang yang menempatkan tempat duduk motosikal ini juga dipanjangkan bagi memberi lebih ruang kepada pengguna selain dapat menempatkan tapak khas untuk beg sisi pada kedua belah.

Ini adalah antara penambahan yang dilakukan pada Super Duke GT, yang asasnya sudah mempunyai rekaan yang cukup agresif dan minimal.

BH Auto menjadi antara yang terawal dapat merasai sendiri pengalaman menunggang KTM Super Duke GT di Spain bersama wakil media antarabangsa semasa majlis pengenalannya Februari lalu.

Pertama kali duduk di atas motosikal ini, perkara yang terus dirasa adalah ia cukup selesa. Kedudukan penunggang tegak dan segala perkara berkaitan ergonomik dirasakan padan bagi penulis yang berketinggian sekitar 170cm.

Setelah berbicara dengan jurutera KTM yang ada, barulah diketahui pemegangnya juga lebih lebar berbanding Super Duke R dan ia boleh dilaras mengikut ketinggian yang bersesuaian dengan penunggang.

KTM Super Duke GT-15
Tenang dalam keadaan mencabar

Cuaca pada hari sesi tunggang uji tersebut berada di luar jangkaan penulis dengan suhu turun serendah 10 darjah celsius dengan hujan dijangka turun pada waktu tengahari. Walaubagaimanapun, semasa memulakan perjalanan dari hotel St Regis Mardavall, Mallorca, matahari masih lagi menyinar dan penulis menggunakan kelengkapan menunggang seperti di Malaysia dengan ditambah beberapa lapisan lagi di dalam untuk menahan kesejukan.

Terdapat tiga mod yang disediakan pada KTM Super Duke GT iaitu Rain, Street dan Sport, yang mana pada setiap mod, tindak balas pendikit, Kawalan Cengkaman (Traction Control), ABS dan juga tetapan suspensi dikawal supaya berpadanan.

Walaupun begitu, dalam setiap mod tunggangan ini, jika anda tidak berpuas hati, anda boleh memilih tiga tetapan suspensi yang diingini iaitu Comfort, Street dan Sport dengan menekan butang yang terdapat pada bahagian kiri pemegang. Sebagai contoh, anda boleh menggunakan mod Street tetapi suspensi boleh diletakkan pada Sport jika mahu.

Keluar dari hotel, penulis sekadar membiarkan ia berada di dalam mod Street yang masih mampu menghamburkan kuasa penuh tetapi lebih lembut berbanding mod Sport. Seperti yang diketahui, 173hp pada sebuah motosikal adalah satu jumlah yang tinggi tetapi motosikal ini tidak akan menimbulkan ancaman kerana ia masih mudah dikawal.

Apabila ditunggang santai untuk melepasi kawasan bandar Mallorca, penulis mendapati tidak banyak gegaran yang dihasilkan oleh enjin dua silinder ini dan tangan juga tidak perlu terlalu tepat dengan putaran pendikit bagi mengelakkan sentakan.

Memasuki lebuh raya barulah taring KTM Super Duke GT mula keluar. Kuasa yang terhasil cukup menakjubkan, ia bukan sahaja dapat memecut pantas, malah terasa padu seperti satu tumbukan. Mungkin juga ini adalah kelebihan enjin dua silinder V.

Sekiranya bersendirian dan bergerak pada kelajuan sekata, sistem ‘autocruise’ pada motosikal ini boleh digunakan dengan butang operasinya terletak di bahagian kanan pemegang tetapi kerana penulis bergerak di dalam konvoi 10 buah motosikal, ia tidak digunakan.

Walaubagaimanapun, penghadang angin yang terdapat di bahagian hadapan Super Duke GT  dirasakan sangat berguna. Ia boleh dilaraskan pada beberapa tahap secara manual, tetapi operasinya masih lagi mudah dan boleh dilakukan sewaktu bergerak.

Untuk pengetahuan anda, enjin KTM Super Duke GT turut menggunakan bahagian ‘head’ yang berbeza berbanding Super Duke R bagi menjadikannya kurang agresif. Walaubagaimanapun, jati diri ‘raksasa’ tersebut masih lagi ada dan hanya bergantung kepada pulasan pendikit oleh penunggangnya sahaja.

Selain itu, dengan ‘head’ baharu ini juga kuasa pertengahan rpm KTM Super Duke GT juga dapat ditingkatkan selain menjadikan pembakaran lebih cekap, jimat bahan api dan kurang kehausan. Jarak servis untuk motosikal ini adalah 15,000 kilometer.

KTM Super Duke GT-9
Kelengkapan dan sistem canggih

Ada ketikanya, sewaktu menjelajah, penunggang bukan sahaja ingin merentas dari satu tempat ke satu tempat malah juga menikmati tunggangan bersemangat di selekoh. Apa yang boleh dikatakan, apabila anda bertemu jalan penuh liku semasa menunggang Super Duke GT, satu perkara yang dijamin adalah kepuasan.

Penamaan motosikal ini sebagai sebuah ‘Sports Tourer’ adalah bersebab dan ia disokong dengan kelengkapan berprestasi oleh pengeluar terkemuka.

Sistem suspensi sebagai contoh, adalah daripada WP Suspension, yang selain mempunyai pilihan tetapan, turut disambungkan dengan pengesan (sensor) dan unit pengawal, seterusnya boleh dilaras secara automatik mengikut keadaan jalan dan berat beban pada motosikal. Ini dapat dilakukan pada kedua-dua bahagian iaitu hadapan dan belakang.

Apa yang dapat dirasakan adalah tunggangan yang cukup meyakinkan. Dalam keadaan penulis cuba mengikut rentak kelajuan wakil media antarabangsa lain yang kebanyakannya adalah penunggang profesional, tiada sebarang insiden menggerunkan seperti tayar hilang cengkaman terjadi.

Ini turut disokong oleh sistem elektronik canggih seperti ‘Motorcycle Stability Control’ (MSC), yang memastikan keadaan selamat dengan melaras sistem Kawalan Cengkaman (Traction Control) serta membenarkan penunggang membrek walaupun sewaktu mengambil selekoh melalui ‘Combined ABS’.

Waktu paling sesuai untuk merasakan sistem ini adalah apabila jalan licin dan sememangnya kami berhadapan dengan situasi tersebut apabila tidak sampai setengah jam   menunggang, hujan turun menjadikan keadaan lebih mencabar.

Sebenarnya, ia lebih mencabar kepada penunggang kerana suhu turun sehingga 5 darjah celsius dan pada sesetengah kawasasan yang dilalui, hujan yang turun adalah berbentuk ais kecil.

Setelah memasang pemanas pada pemegang dan tempat duduk, perjalanan tetap diteruskan dan waktu itu barulah dirasakan sistem MSC ini bertindak aktif. Walaubagaimanapun, campur tangan sistem berkomputer ini tidak begitu mendadak dan penunggang tidak akan rasa terkejut.

Penulis masih merasa selamat menunggang sebuah motosikal berkuasa di atas jalan licin seperti itu dan keadaannya tenang sahaja.

KTM Super Duke GT-4
Sesuai untuk penunggang berjiwa sport

Secara keseluruhannya, jika anda adalah seorang yang gemarkan kelajuan dan pemanduan berprestasi, pada masa sama inginkan juga menjelajah jarak jauh, KTM Super Duke GT adalah jentera yang padan untuk memuaskan kehendak tersebut.

Melihatkan model Super Duke R yang dijual di Malaysia pada harga hampir RM150,000, Super Duke GT juga mungkin dipasarkan pada harga hampir sama apabila ia tiba di Malaysia tidak lama lagi.

Dengan harga sebegitu, ia meletakkan Super Duke GT sebagai satu produk premium, tetapi boleh dikatakan berpadanan dengan kelengkapan berprestasi dan berteknologi yang akan diperolehi bersama motosikal ini.

Tidak kira betapa jauh perjalanannya, selagi jalan tersebut berturap, KTM Super Duke GT pasti dapat melonjakkan semangat tunggangan anda dan ia boleh dicapai secara selesa tanpa banyak kerisauan.

Penulis sendiri terpaksa akur dengan keadaan ini di mana selepas selesai sesi tunggang uji yang dipendekkan separuh jalan akibat cuaca buruk, dan badan terketar-ketar kesejukan, penulis masih boleh tersenyum kepuasan.

 

SPESIFIKASI

KTM Super Duke GT

 

Enjin: 1,301cc, dua silinder V, empat strok

Transmisi: Enam kelajuan, klac ‘slipper’ PASC

Kuasa maksimum: 173hp @ 9,500rpm

Tork maksimum: 144Nm @ 6,750rpm

Suspensi hadapan: USD 48mm Semi-Active WP

Suspensi belakang: Monoshock Semi-Active WP

Brek hadapan: set berkembar cakera 320mm, angkup Monobloc empat piston Brembo

Brek belakang: cakera 240mm, angkup dua piston Brembo

Ciri keselamatan: Kawalan Cengkaman (TC), brek ABS, Cornering ABS

Berat: 205kg (kering)

Kapasiti tangki: 23 liter, 3.5 liter (simpanan tambahan)

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This blog is kept spam free by WP-SpamFree.