Sebuah model yang melonjakka nama Kia di pasaran global kebelakangan ini ialah model terbaru Kia Rio, yang untuk kebanyakan pasaran utama dunia ditawarkan dalam versi 3-pintu dan 5-pintu. Kehadiran Kia Rio untuk pasaran global sebagai sebuah kereta yang mampu memberi cabaran baru bagi segmen B dan serta-merta ia dianggap sebagai penggugat kepada pesaing lain dalam kategori sama.

BH Auto bertandang ke Seoul, Korea Selatan pada November lalu bagi menghadiri sesi pandu uji model terbabit. Sepanjang tempoh pandu uji di sana, BH Auto memahami mengapa model kompak berkenaan begitu popular dan menerima sambutang hangat pasaran automotif umumnya. Dua perkara yang menjadi kekuatan Rio 2012 yang dipertaruhkan oleh Kia ialah reka bentuk yang dinamik serta prestasi keseluruhannya yang mengkagumkan.

Model ini kelihatan cukup bergaya dan sportif dengan rekaan hatchback lima pintu bagi unit yang dipandu uji di Seoul. Sekali imbas, saiznya kelihatan hampir sama dengan model seperti Ford Fiesta dan enjin Gamma petrol empat silinder 1.4 liter yang digunakannya mempunyai kuasa maksimum 105hp pada 6,300 rpm manakala kuasa tork pula sebanyak 135Nm.

Seperti yang dicatatkan pada helaian spesifiaksi di atas kertas model ini, ia mampu memecut dari kedudukan statik kepada kelajuan 100kmj dalam masa hanya 11.5 saat. Bagaimanapun, bersandarkan kepada pangalaman memandu dan mendekati kelebihan kereta ini di Seoul, ia boleh saja melakukan lebih baik dari itu. Kuasa torknya begitu ketara dan banyak membantu menggerakkan kereta kecil ini dengan begitu pantas.

Menurut pengeluarnya, enjin 1.4 liter Rio membebaskan antara 137 ke 167g/km karbon dioksida sementara kecekapan bahan apinya pula berada antara 5.7dan 7 liter bagi setiap 100 kilometer. Nisbah ini lebih merujuk kepada versi transmisi automatik (154 – 167g/km dan 6.5 – 7 l/100km) memandangkan kotak gear manual membakar lebih minyak, seperti yang diperhatikan oleh beberapa peserta pandu uji lain.

Transmisi bagi kedua-dua model manual lima kelajuan dan automatik enam kelajuan (varian utama yang akan tiba di Malaysia) begitu lancar, menjadikan setiap penukaran gear tidak terasa. Penggunaan sistem bantuan kuasa elektrik MDPS pula membantu menjadikan kawalan stereng lebih meyakinkan. Ada kalanya terasa seperti memandu kenderaan yang lebih kecil, tetapi tidak terhuyung-hayang atau seperti di awangan semasa bergerak, seperti kebanyakan model-model dalam kelas yang sama – kerana saiz yang kecil dan kereta yang umumnya lebih ringan.

Suasana ruang dalaman Rio adalah sesuatu yang patut diberi perhatian. Ruang yang ada terasa luas berbanding yang ditawarkan kenderaan segmen B yang lain. Pemilik juga dapat menikmati pelbagai alat elektronik canggih seperti slot USB dan paparan variasi pilihan. Yang sedikit menggusarkan ialah reka bentuk papan pemuka yang kelihatan agak besar, jika dibandingkan dengan saiz dan suasana dalaman Rio terbaru ini.

Dari pengalaman duduk di dalam versi manual dan memandu sendiri versi sedan dengan transmisi automatiknya, Rio terasa mantap dan stabil bagi sebuah kenderaan segmen B. Tambah-tambah lagi kestabilan yang dirasakan pada model hatchbacknya, di mana ia lebih teguh ketika mengharungi laluan di jalan raya. Malah pada kelajuan 140km/j ia masih dapat dikawal dengan mudah dengan gegaran enjin yang kurang.

Sukar untuk tidak terpaut pada gaya kontemporari sport dan keluasan bahagian dalam yang ada padanya. Mengikut perancangan Naza Kia selaku pengedar tunggal jenama itu di Malaysia, syarikat itu menjangkakan bakal memperkenalkan kedua-dua model hatchback dan sedan Rio 2012 ini. Spesifikasi lengkap dan harga akhir akan dimaklumkan sebaik model ini dilancarkan secara rasmi di Malaysia kelak, dijangkakan pada separuh pertama 2012.

Spesifikasi Kia Rio (hatchback)

Enjin: Gamma 1.399cc, empat silinder sebaris, DOHC, dual CVVT

Transmisi: Automatik enam kelajuan

Kuasa Maksimum: 105hp @ 6,300rpm

Tork maksimum: 135Nm @ 4,200rpm

Ciri keselamatan: Enam beg udara, ABS, EBD

Harga: RM70,000 ke RM80,000 (anggaran)

 

2012: tahun melebarkan sayap bagi Kia

2011 adalah tahun yang agak sibuk bagi Naza Kia Malaysia Sdn Bhd, dengan pelaksanaan program penjenamaan semula melalui pengenalan model kenderaan yang berkonsepkan kontemporari sport. Bagaimanapun, ini hanyalah permulaan. Bagi tahun 2012 pula, satu daripada fokus Naza Kia adalah untuk menembusi pasaran kenderaan segmen A dan B untuk pasaran tempatan.

“Dengan dua model yang akan dibawa ini, barisan kenderaan Naza Kia Malaysia akan lengkap, sekali gus menjadikan jenama ini lebih menarik di pasaran tempatan. Kami juga dapat memenuhi permintaan dalam pelbagai segmen pasaran yang berbeza,” kata Ketua Pegawai operasi Naza Kia, Datuk Hafiz Syed Abu Bakar. Sehingga penghujung November 2011, Naza Kia mencatat jualan sebanyak 10,228 unit kenderaan, 11 peratus lebih tinggi berbanding tempoh yang sama tahun bagi 2010.

“Konsep rekaan baru yang dilakukan oleh Kia menjadi penyumbang kepada peningkatan jualannya di seluruh dunia, yang kini mencatatkan 22 peratus lebih tinggi berbanding tahun 2010,” tambah Hafiz. Antara langkah yang diambil oleh Naza Kia adalah dengan memperkenalkan model-model baru, menambah rangkaian jualan kepada 60 premis, penggunaan konsep baru ‘Kia Red Cube’ di pusat jualan dan menganjurkan pelbagai aktiviti untuk mendekati pelanggan.

Bagi tahun 2012, selain pengenalan kenderaan baru, Naza Kia merancang untuk memperbaiki tanggapan umum terhadap jenama Kia melalui inovasi produk, identiti baru pada pusat jualan dan servis, meningkatkan imej servis selepas jualan, pemasaran sukan serta sesi jelajah pandu uji di seluruh negara. Syarikat itu juga mempunyai strategi untuk terus berhubung secara terus dengan pelanggan.

Kia Rio 2012 adalah antara model terbaru yang disahkan akan dibawa masuk ke Malaysia oleh Naza Kia tahun ini. Selain Rio, beberapa lagi model dijangka akan diperkenalkan. “Bila sampai waktunya, kami akan umumkan model-model yang dimaksudkan,” jelas Hafiz. - King Leong, 20 Januari 2012.